
Dengan memandu kenderaan jenis Toyota Vellfire, lelaki berkenaan dilaporkan bergerak berseorangan melakukan samun terutama membabitkan mangsa di tepi jalan, premis kedai dan hotel dengan bersenjatakan pisau dan sebatang rotan.
Ketua Polis Daerah Gombak Zainal Mohamed Mohamed dipetik Bernama berkata lelaki berusia 40-an itu ditahan di sebuah rumah di Kajang, kira-kira 12 tengah malam pada Sabtu.
Katanya, dengan penahanan itu polis percaya berjaya menyelesaikan enam kes samun di sekitar Gombak, Kajang dan Cheras.
Menurutnya, kes pada Rabu membabitkan seorang wanita berusia 25 tahun disamun di tepi jalan Selayang Capitol, Kuala Lumpur, ketika berjalan seorang diri menyebabkan kerugian RM300.
Satu lagi kes melibatkan seorang lelaki yang bersendirian di tepi jalan Bandar Baru Selayang dengan kerugian RM2,000.
Sementara itu, katanya, kes pada Khamis pula membabitkan samun terhadap seorang lelaki berusia 43 tahun di Jalan Selayang Point 1, Kuala Lumpur, menyebabkan kerugian RM747.
Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu agar menghubungi Pegawai Penyiasat Mohd Fildza Che Ibrahim di talian 016-9537372 atau 03-61262222.