
Bercakap dalam sidang media selepas melawat tapak projek pembinaan Hospital Petra Jaya (HPJ) di sini, beliau berkata, kontraktor yang lewat atau gagal menyiapkan projek bukan hanya menjejaskan harapan kerajaan negeri dan rakyat, tetapi turut melibatkan kos tinggi.
“Kontraktor sedia ada sekarang perlu dipantau kerjanya sehingga siap kerana jika melibatkan kelewatan, pastinya harapan penduduk sekitar kawasan ini dan kerajaan untuk mendapatkan hospital akan terjejas dan lebih merugikan adalah kos yang meningkat.”
Berkenaan HPJ, kontraktor penyelamat telah memulakan projek menyiapkan baki kerja terbengkalai sejak awal tahun ini dan hospital berkenaan dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2024.
HPJ pernah dikategorikan sebagai “projek sakit” apabila projek itu yang dijadualkan siap pada November 2016 tertangguh ekoran kelewatan pembinaan.
Sementara itu, Ismail berkata, kerajaan Sarawak turut mengemukakan beberapa permintaan kepada kerajaan pusat untuk membantu pembangunan di negeri itu, khususnya di kawasan luar bandar.
Katanya, permintaan itu dikemukakan pagi tadi sewaktu beliau menghadiri taklimat pembangunan oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri Sarawak yang turut dihadiri Menteri Pembangunan Luar Bandar, Mahdzir Khalid.
“Apa yang dibangkitkan tadi dari segi pembangunan di luar bandar, keperluan untuk utiliti air perlu dipertingkatkan, begitu juga jalan-jalan di luar bandar dan yang penting saya dimaklumkan keperluan menaik taraf sekolah daif di seluruh Sarawak.”
Beliau berkata, Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Ruji Ubi diarahkan berbincang dengan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Jaul Samion mengenai perkara berbangkit dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) untuk negeri itu.
“Menjelang penghujung RMK12, saya berharap perkara berbangkit ini dapat diselesaikan. Saya sudah pun memberi komitmen kepada kerajaan Sarawak kita akan bantu dari segi pembangunan luar bandar.”
Ditanya sama ada Belanjawan 2022 yang akan dibentangkan 29 Okt ini mempunyai berita baik untuk Sarawak, Ismail berkata: “Insya Allah, kalau saya umum hari ini, anda tak nak tengok pengumuman (pembentangan Belanjawan) nanti…tunggu.”
Mengenai pilihan raya negeri Sarawak, Ismail mengesahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum membentangkan lagi kaedah atau SOP, sekiranya PRN itu akan diadakan dalam masa terdekat.
“Belum lagi…jangan mendahului Yang di-Pertuan Agong. Pembubaran, menetapkan tarikh dan untuk menarik balik perintah darurat, itu semuanya kuasa Yang di-Pertuan Agong. Jangan kita mendahului kuasa Yang di-Pertuan Agong. Kita tunggu sahaja.”
Dalam tinjauannya ke tapak projek HPJ, Ismail turut diiringi Ketua Menteri Sarawak, Abang Johari Openg dan Timbalannya, Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Kerja Raya, Fadillah Yusof dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Dr Sim Kui Hian.