
Justeru, Idris meminta Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan yang dilaporkan mendakwa kehadirannya pada mesyuarat itu menimbulkan ketegangan, supaya tidak membuat tuduhan tanpa usul periksa.
“Ahmad Maslan kalau nak tahu cerita sebenar, minta dia telefon saya…saya boleh ceritakan dari pangkal sampai hujung,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Terdahulu, Ahmad dan dan Ketua Umno Bahagian Tangga Batu, Mohamad Ali Mohamad dilaporkan kesal dengan tindakan Idris muncul dalam mesyuarat berkenaan dan menyifatkannya sebagai tidak sepatutnya dilakukan kerana Idris bukan lagi ahli Umno.
Mengulas kenyataan Mohamad Ali yang mendakwa tindakannya itu seolah-olah ‘gila talak’, Idris berkata Ketua Umno terbabit sudah kehabisan modal untuk bercakap.
“Apa yang dia maksudkan gila talak? Dia jangan takut, saya tak buat kacau,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang juga menjelaskan beliau hadir di kediaman seorang pemimpin Umno cawangan itu kerana halaman itu sangat hampir dengan halaman kediamannya.
“Kami berkongsi halaman rumah dan semasa saya berborak dengan ibu saya, mereka yang berkumpul untuk mesyuarat Umno cawangan buat bising.
“Saya pergi ke halaman rumah itu dan meminta mereka senyap sedikit kerana terlalu bising ketika saya sedang berborak dengan ibu tetapi mereka degil,” katanya.
Idris mendakwa, ketika kejadian jam 10.15 pagi itu, mesyuarat berkenaan belum dijalankan dan beliau mengambil sedikit masa untuk memberikan penjelasan kepada ahli Umno mengenai situasi politik semasa di negeri ini.
Beliau berkata meminta ahli Umno cawangan itu membawa usul tiga pemimpin Umno yang didakwa menyebabkan banyak kerosakan kepada parti, Melaka dan Malaysia secara keseluruhannya.
Katanya, pemimpin terbabit ialah Presiden Umno, Zahid Hamidi; Pengerusi Perhubungan Umno Melaka, Ab Rauf Yusoh dan Mohamad Ali.
“Saya minta mereka membawa usul itu kerana ketiga-tiga individu itu membuat kerosakan kepada Umno, negeri ini dan negara kita.
“Selepas meminta mereka membawa usul itu, saya pun balik, tak ada pun saya buat kacau-bilau,” katanya.
Keahlian Idris dalam Umno terlucut secara automatik selepas beliau menarik sokongan kepada Ketua Menteri, Sulaiman Md Ali pada 4 Okt lalu.
Selain Idris, turut terlucut keahlian Umno ialah bekas ADUN Pantai Kundor, Nor Azman Hassan kerana melakukan tindakan sama.