‘Pendakwaan berniat jahat’: Najib saman Thomas, kerajaan

‘Pendakwaan berniat jahat’: Najib saman Thomas, kerajaan

Bekas Perdana Menteri Najib Razak mendakwa tuduhan terhadapnya adalah tindakan yang telah lama dirancang dan dirangka awal.

Najib Razak berkata Tommy Thomas prejudis dan bertindak seolah-olah beliau ejen kerajaan Pakatan Harapan.
KUALA LUMPUR:
Najib Razak memfailkan saman terhadap bekas Peguam Negara Tommy Thomas dan kerajaan kerana didakwa melakukan misfeasans (salah guna kuasa) dalam jawatan awam apabila mendakwanya atas tuduhan berkaitan 1MDB.

Bekas Perdana Menteri itu mendakwa tuduhan berkenaan yang dikemukakan ketika Thomas menjadi Peguam Negara adalah sebahagian daripada tindakan yang telah lama dirancang dan dirangka awal.

“Ini juga selaras dengan perancangan kerajaan (Pakatan Harapan) ketika itu.

“Sebagai Peguam Negara, beliau (Thomas) menjalankan tugasnya, sekurang-kurangnya berkaitan dengan plaintif (Najib) seolah-olah beliau adalah ‘ejen PH,’” kata Najib dalam pernyataan tuntutannya yang dilihat oleh FMT. Saman itu difailkan awal minggu ini.

Thomas dilantik menjadi Peguam Negara pada 4 Jun 2018 selepas Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum dan membentuk kerajaan, dengan Dr Mahathir Mohamad sekali lagi menjadi Perdana Menteri.

Najib berkata, Thomas mendakwa telah menerima bukti anekdot mencukupi bahawa “penipuan besar telah berlaku.”

“Selepas Pilihan Raya Umum pada Mei 2018, beliau (Thomas) telah membuat keputusan untuk mendakwa plaintif sebelum mengkaji kes berkenaan,” katanya dengan menambah, Thomas telah mempunyai pemikiran prejudis terhadapnya.

Najib turut mendakwa satu pertemuan diadakan antara Thomas dan Mahathir bersama Ketua Polis Negara serta pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2018.

“SPRM berulang kali memaklumkan Mahathir, mereka tidak menemui sebarang salah laku, tetapi Thomas meneruskan pendakwaan terhadap plaintif,” katanya.

Pada Julai 2018, Najib didakwa atas tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram melibatkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd dalam akaun banknya.

Beliau disabitkan bagi tujuh tuduhan dan sedang menunggu keputusan rayuan terhadap kes melibatkan SRC International.

Pada tahun sama, Najib turut didakwa atas 25 tuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kuasa berkaitan dana 1MDB dalam akaun banknya, serta satu tuduhan meminda laporan audit 1MDB.

Selain itu, beliau didakwa bersama bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Irwan Serigar Abdullah atas enam tuduhan pecah amanah untuk membuat bayaran kepada International Petroleum Investment Co (IPIC).

Najib mendakwa Thomas yang memegang jawatan Peguam Negara sehingga 28 Feb 2020 telah melakukan misfeasans dalam jawatan awam.

“Peguam Negara telah membuat pengadilan awal terhadap plaintif sebelum memutuskan untuk mendakwanya, selain mencampuri siasatan,” katanya.

Najib menambah, selepas Thomas bukan lagi Peguam Negara beliau telah menggunakan maklumat dalaman berhubung pendakwaan itu dan membuat “kenyataan memfitnah” walaupun perbicaraan kes-kes berkenaan masih sedang berlangsung.

“Sebagai bekas Peguam Negara, beliau tidak sepatutnya membuat kenyataan sub judice yang dapat mempengaruhi perbicaraan,” katanya merujuk kepada biografi Thomas, “My Story: Justice in the Wilderness”.

Najib turut menuntut ganti rugi RM1.94 juta.

Mahkamah Tinggi menetapkan sebutan kes pada 19 Nov.

Awal tahun ini, peguam Najib mengeluarkan surat tuntutan maaf terhadap Thomas berhubung kandungan biografi berkenaan yang mengaitkannya dengan kematian wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.