Sasterawan Negara, Kemala meninggal dunia

Sasterawan Negara, Kemala meninggal dunia

Allahyarham Ahmad Kamal Abdullah sebelum ini dalam keadaan uzur dan menghidap beberapa penyakit, termasuk komplikasi buah pinggang.

Ahmad Kamal Abdullah, 80, mendapat Anugerah Sastera Negara ke-11 pada 2012. (Gambar Twitter)
KUALA LUMPUR:
Sasterawan Negara, Ahmad Kamal Abdullah atau lebih dikenali dengan nama penanya, Kemala, meninggal dunia di rumah anak lelakinya di Damansara di sini, hari ini.

Presiden Persatuan Penulis Nasional (PENA), Mohamad Saleeh Rahamad berkata, jenazah Allahyarham dimandikan serta disembahyangkan di Surau As Shahabah, Seksyen 7 Kota Damansara, Petaling Jaya sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9 Kota Damansara, selepas solat Asar.

Menurutnya, Allahyarham yang meninggal dunia pada 12 tengah hari tadi, sebelum ini berada dalam keadaan uzur dan menghidap beberapa penyakit, termasuk komplikasi buah pinggang.

“Allahyarham bukan sahaja memberi sumbangan dalam bentuk penulisan, pembangunan sastera dan melahirkan penulis baharu menerusi Persatuan Sasterawan Nusantara Melayu Raya (NUMERA) yang diasaskan beliau,“ katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata, menerusi NUMERA, Allahyarham berusaha menyatukan kesusasteraan Melayu di Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura untuk diangkat ke peringkat antarabangsa.

“Kegigihan beliau yang bergerak bukan atas dasar kapasiti peribadi ini sememangnya sukar digantikan.”

Ahmad Kamal, 80, menerima Anugerah Sastera Negara ke-11 pada 2012 serta pernah bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1968 sebelum bersara pada 1996 sebagai Ketua Bahagian Kesusasteraan Bandingan.

Allahyarham aktif dalam karya sastera dan mula menulis sajak sejak sekolah rendah dan hasil penulisannya diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa termasuk Cina, Urdu, Perancis, Jerman, Belanda, Slovenia, Sepanyol dan Serbo-Croatia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.