BN dirikan kerajaan pelbagai kaum, kata Tok Mat

BN dirikan kerajaan pelbagai kaum, kata Tok Mat

Timbalan Pengerusi BN menyeru semua parti komponen bersatu berdepan PRN Melaka, sebagai menggambarkan kemajmukan rakyat di negara ini.

Barisan Nasional (BN) perlu menang pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka kerana akan menjadi cerminan kepada pilihan raya umum akan datang, kata Mohamad Hasan.
PETALING JAYA:
Barisan Nasional (BN) tidak berhasrat mewujudkan kerajaan Melayu atau kerajaan Islam, sebaliknya mahu menubuhkan kerajaan BN terdiri daripada pelbagai kaum, kata Timbalan Pengerusinya, Mohamad Hasan.

Ketika bersiaran langsung secara maya merasmikan jentera BN, Mohamad menyeru parti komponennya bersatu berdepan pilihan raya negeri (PRN) Melaka, sebagai menggambarkan kemajmukan rakyat di negara ini.

Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya Umno, berkata banyak pihak mahu melihat parti berkenaan gagal serta dikelirukan. Justeru beliau menggesa ahli parti melaksanakan tanggungjawab mereka sebaik mungkin.

“Apa yang penting adalah kita menang di Melaka kerana Melaka adalah cerminan kepada pilihan raya umum akan datang.

“Melaka penting kepada kita dalam usaha mengukuhkan prestasi menjelang pilihan raya umum,” katanya sambil menyatakan keyakinan Melaka masih lagi kubu kuat Umno.

“Bagaimanapun, sekiranya semua melaksanakan tanggungjawab dengan baik, kita mampu menang lebih banyak kerusi di negeri ini.”

Mohamad berkata, banyak pihak mahu “menguburkan” mereka di Melaka, namun beliau menyeru ahli parti menghadapi cabaran itu.

Katanya, walaupun menjangka berdepan banyak halangan di negeri berkenaan, termasuk larangan berkumpul seperti diumumkan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, ia sepatutnya tidak menghalang parti melakukan gerak kerja.

“Walau apa pun yang berlaku, jangan mudah diganggu dan jangan biarkan (apa-apa) mengganggu jentera kita,” katanya.

PRN Melaka akan diadakan pada 20 Nov, dengan pengundian awal pada 16 Nov, manakala penamaan calon, pada 8 Nov.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.