
Bagaimanapun, beliau berkata cukai itu tidak akan dikenakan terhadap perkhidmatan penghantaran makanan dan minuman serta perkhidmatan logistik.
“Cukai jualan dikenakan ke atas barang bernilai rendah dari luar negara yang dijual oleh peniaga dalam talian dan dihantar kepada pengguna di Malaysia melalui perkhidmatan kurier udara.
“Selain itu, cukai perkhidmatan dikenakan ke atas perkhidmatan penghantaran barang yang disediakan oleh penyedia perkhidmatan termasuk platform e-Dagang kecuali perkhidmatan penghantaran makanan dan minuman serta perkhidmatan logistik,” katanya di Dewan Rakyat.
Tengku Zafrul berkata, selaras amalan di peringkat antarabangsa, kerajaan bercadang memberikan layanan cukai sama rata seperti kadar duti setem nota kontrak dinaikkan dari 0.1% kepada 0.15% dan had duti setem RM200 setiap nota kontrak dimansuhkan.
“Pada masa sama, aktiviti pembrokeran dagangan saham tersenarai tidak lagi dikenakan cukai perkhidmatan,” katanya.
Tengku Zafrul berkata, cukai pendapatan juga dikenakan kepada pemastautin di Malaysia ke atas pendapatan yang terbit daripada sumber luar negara dan diterima di Malaysia mulai 1 Jan 2022.
“Program Khas Pengakuan Sukarela Jabatan Kastam Diraja Malaysia diperkenalkan secara berfasa dengan insentif remisi penalti sebanyak 100% bagi fasa pertama dan remisi penalti sebanyak 50% bagi fasa kedua. Remisi cukai juga akan dipertimbangkan bagi kes tertentu,” katanya.
Beliau berkata, Sijil Pematuhan Cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia akan dijadikan sebahagian prasyarat untuk syarikat menyertai perolehan kerajaan bermula 1 Jan 2023.
Katanya, penggunaan nombor pengenalan cukai (atau TIN) akan dilaksanakan mulai 2022 bagi memperluaskan asas cukai pendapatan.