Larangan jual arak: 7 Ahli Parlimen mohon DBKL, Shahidan pertimbang tarik balik larangan

Larangan jual arak: 7 Ahli Parlimen mohon DBKL, Shahidan pertimbang tarik balik larangan

Mereka secara tegas menghormati Islam dan larangan arak ke atas Muslim, namun tidak boleh dipaksakan terhadap orang bukan Islam, terutamanya dalam hal makan minum.

Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan berkata, garis panduan ditetapkan sebelum ini adalah mencukupi bagi mengekang remaja atau orang Islam membeli minuman beralkohol.
PETALING JAYA:
Tujuh Ahli Parlimen sepakat memohon Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim mempertimbang untuk menarik balik perintah larangan baharu bagi penjualan minuman keras di Kuala Lumpur.

Kenyataan bersama itu membabitkan Tan Kok Wai (Cheras); Fong Kui Lun (Bukit Bintang); Teresa Kok (Seputeh); Lim Lip Eng (Kepong); Hannah Yeoh (Segambut); Dr Tan Yee Kew (Wangsa Maju) dan Prabakaran Parameswaran (Batu).

Dalam kenyataan bersama itu, mereka bersama beberapa persatuan perniagaan minuman keras sudah mengadakan beberapa perjumpaan dengan Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim berkenaan isu berkenaan, namun mendakwa beliau tidak mengambil serius pendirian serta cadangan persatuan perniagaan terbabit.

Shahidan Kassim.

“DBKL dan Menteri Wilayah Persekutuan perlu menghormati cara hidup dan budaya semua rakyat Malaysia sama ada orang Islam atau orang bukan Islam,” katanya.

Kata mereka, larangan menjual minuman keras di kedai runcit, kedai serbaneka dan kedai ubat Cina, turut menyekat hak peniaga untuk berniaga serta menjual barang-barang yang sah di segi undang-undang di samping menyusahkan pembeli dalam kalangan masyarakat bukan Islam di Kuala Lumpur.

“Kami menghormati agama Islam. Malah, kami tahu arak adalah haram untuk umat Islam. Tetapi apa yang haram kepada orang Islam tidak boleh dipaksakan terhadap orang bukan Islam, terutamanya dalam hal makan minum.

“Hak ini merupakan hak setiap rakyat yang telah dipersetujui bersama oleh tokoh-tokoh kemerdekaan kita yang menjadi tunjang kepada Perlembagaan Persekutuan.

“Malah larangan tambahan DBKL itu akan menjejaskan imej dan impian untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai Bandaraya Kelas Dunia (World Class City), yang bakal meraikan jutaan warga dunia daripada pelbagai latar belakang agama, budaya dan cara hidup,” kata mereka dalam kenyataan.

Kata mereka, kedai runcit, kedai serbaneka dan kedai ubat Cina yang menjual minuman beralkohol merupakan perniagaan kecil dimiliki dan diuruskan oleh orang bukan Islam. Hasil penjualan minuman tersebut hanyalah kepada pelanggan bukan Islam dan ia merupakan salah satu sumber pendapatan yang penting bagi kedai-kedai serbaneka berkenaan.

Semalam, DBKL dalam kenyataan, memaklumkan penjualan bir di kedai runcit, kedai serbaneka dan kedai ubat Cina di Kuala Lumpur kini hanya dibenarkan sehingga 9 malam.

Katanya, perkara itu sebagai syarat baharu untuk permohonan Lesen Minuman Keras (LMK) dan pelanggan masih boleh membeli bir di premis tersebut yang boleh dijual bermula jam 7 pagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.