
Pengarah Eksekutifnya, Sevan Doraisamy berkata, penubuhan jawatankuasa itu bertujuan memastikan penambahbaikan yang dibuat adalah telus, amanah dan memberikan keadilan kepada semua tahanan reman di bawah SOSMA.
Katanya, SUARAM telah mengadakan sesi meja bulat bersama badan-badan berkepentingan pada 21 Oktober lalu bagi membincangkan pemansuhan atau pindaan ke atas Akta SOSMA yang dihadiri 24 orang, termasuk wakil rakyat pembangkang, kerajaan, Suhakam serta Majlis Peguam.
“Hasil perbincangan meja bulat itu terdapat tiga perkara utama yang harus dibincangkan, iaitu jumlah 28 hari reman adalah keterlaluan dan ia harus dirombak dan perlu adanya pengawasan daripada pihak kehakiman ke atas keseluruhan proses reman.
“Lanjutan tempoh tahanan harus diberikan kepada majistret, bukannya polis dan setiap lanjutan harus diberikan justifikasi dan alasan yang munasabah oleh pegawai penyiasat. SOSMA dan penggunaannya harus dibawa kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk membuat perbincangan lanjut bersama badan berkepentingan lain.
“Kedua, keperluan untuk mendefinisikan dengan jelas maksud keselamatan awam. Takrifannya yang samar-samar dalam undang-undang menyebabkan tahanan boleh ditahan secara salah di bawah terma yang tidak jelas.
“Ketiga, keperluan untuk menyediakan peguam kepada tahanan sebagai langkah praperbicaraan kepada SOSMA. Kebanyakan masa, tahanan tidak diberi akses kepada peguam bela semasa memberikan kenyataan mereka. Ini jelas melanggar hak-hak mendapatkan perbicaraan yang adil,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, kerajaan seharusnya komited dan menepati janji dalam penambahbaikan undang-undang mengenai keselamatan dan ketenteraman awam seperti yang dinyatakan di dalam Rancangan Malaysia ke-12 untuk meminda beberapa undang-undang bagi memastikan kesesuaian dan keberkesanan bagi meningkatkan keselamatan dan ketenteraman awam.
“Ini termasuk undang-undang berkaitan jenayah merangkumi Akta Pencegahan Jenayah 1959, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah Khas) 2012, Akta Pencegahan Keganasan 2015 dan Kanun Keseksaan 1957. Di samping itu, Akta Hasutan 1948 serta Akta Percetakan dan Penerbitan 1984 juga akan disemak semula.
“Sehingga kini alasan kepada penggunaan SOSMA sebagai undang-undang untuk menjaga keselamatan negara masih lagi tidak jelas. Hal ini adalah kerana SOSMA hanyalah satu undang-undang prosedur yang memberi kuasa yang luas kepada pihak polis dan bukanlah untuk mengurangkan masalah keselamatan negara,” katanya.
Katanya, SOSMA juga sering disalahgunakan seperti ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) untuk menghukum tanpa bicara terhadap mereka yang mempunyai perbezaan pendapat dengan kerajaan tetapi tidak mengganggu gugat ketenteraman awam.