SPR terima pemakluman darurat Sarawak dibatal, akan adakan mesyuarat khas

SPR terima pemakluman darurat Sarawak dibatal, akan adakan mesyuarat khas

Setiausaha SPR Ikmalrudin Ishak, berkata pilihan raya hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh Proklamasi Darurat (Sarawak), dibatalkan atau diungkaikan.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Ikmalrudin Ishak, berkata SPR akan mengadakan mesyuarat khas membincangkan pelaksanaan pilihan raya di Sarawak.
KUCHING:
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menerima pemakluman rasmi daripada Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg, mengenai pembatalan Proklamasi Darurat bagi negeri itu, semalam.

Setiausaha SPR Ikmalrudin Ishak, dalam satu kenyataan, hari ini, memaklumkan berdasarkan Seksyen 3 (3) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Sarawak) 2021, Dewan Undangan Negeri hendaklah terbubar pada tarikh Proklamasi Darurat (Sarawak) dibatalkan atau diungkaikan.

“Di bawah Seksyen 3 (4) Ordinan yang sama berkehendakkan suatu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh Proklamasi Darurat (Sarawak), dibatalkan atau diungkaikan.

“Justeru itu, SPR akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan mengenai pelaksanaan pilihan raya tersebut… Tarikh mesyuarat berkenaan akan dimaklumkan kemudian oleh SPR,” katanya.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan mengenai pembatalan Proklamasi Darurat bagi Sarawak, yang berkuat kuasa sejak 2 Ogos lepas.

Pemangku Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Azuan Effendy Zairakithnaini, dalam kenyataan semalam, memaklumkan perkenan Seri Paduka terhadap pembatalan Proklamasi Darurat berkenaan selaras dengan Perkara 40 dan 40(1A) Perlembagaan Persekutuan.

Pembatalan Proklamasi Darurat itu secara tidak langsung akan memberi laluan kepada pilihan raya negeri ke-12 (PRN12) Sarawak diadakan setelah tempoh mandat kerajaan negeri Sarawak tamat pada 6 Jun lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.