Tanjung Bidara kubu BN? Pengundi boleh nilai kerja saya, kata Mas Ermieyati

Tanjung Bidara kubu BN? Pengundi boleh nilai kerja saya, kata Mas Ermieyati

Calon Perikatan Nasional itu berkata kuasa menentukan siapa paling layak menjadi wakil rakyat terletak di tangan pengundi DUN berkenaan.

Mas Ermieyati Samsudin berharap pilihan raya negeri akan berjalan dengan baik walaupun perlu mematuhi SOP ketat.
MELAKA:
Calon yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara memiliki peluang sama rata walaupun ia dilabel sebagai kubu kuat Barisan Nasional (BN), kata Mas Ermieyati Samsudin.

Calon Perikatan Nasional (PN) itu berkata, kuasa bagi menentukan siapakah paling layak menjadi wakil rakyat terletak di tangan pengundi DUN berkenaan.

Katanya, terpulang kepada pengundi untuk menilai termasuk pengalamannya sepanjang berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah.

“Pengundi boleh menilai gerak kerja saya di sini walaupun ada mengatakan ini kubu BN, tapi bagi saya peluang yang ada sama rata,” katanya pada sidang media selepas penamaan calon hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mas Ermieyati berharap pilihan raya negeri (PRN) berjalan dengan baik walaupun perlu mematuhi SOP ketat.

“Banyak kekangan namun kita perlu memanfaatkan semua platform. Di sini terdapat lebih 10,000 pengundi dan kita fokus kepada semua peringkat umur.

“Ceramah dan kempen tidak dibenarkan begitu juga kempen rumah ke rumah. Ini adalah cabaran besar buat calon baharu kerana mereka perlu perkenalkan diri,” katanya.

Justeru, beliau berharap media membuat lebih banyak liputan untuk calon baharu kerana kelebihan kini berada pada calon yang pernah bertanding.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.