
Ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) mula menyebabkan perniagaan terpaksa gulung tikar, pemiliknya Gurdip Kaur, 53, memilih untuk bertukar lokasi dari sebuah kedai di Jalan Tuanku Abdul Rahman di Kuala Lumpur ke medan selera di Kompleks Pertama pada April.
Menurut Gurdip, semuanya kerana beliau tidak lagi mampu menanggung kos sewa yang mencecah RM8,000 sebulan.
“Selain itu, kos elektrik dan utiliti mencecah RM3,000 sebulan. Apabila kami berpindah ke premis baharu, ia membantu kerana sewa lebih rendah,” kata Gurdip, yang mengambil alih perniagaan itu selepas suaminya meninggal dunia pada 2009.

Katanya, meskipun pada awalnya ramai pelanggan setia sukar mencari lokasi baharu restoran itu, namun inisiatifnya memasang kain rentang besar berwarna hijau sedikit sebanyak membantu pelanggan.
Kata Gurdip, kebanyakan pelanggan lama adalah dalam kalangan pesara yang tidak selesa membayar caj penghantaran walaupun restoran itu tersedia di aplikasi popular.
Lokasi baharu itu bagaimanapun katanya, mengehadkan kapasiti tempat duduk jika dibandingkan dengan lokasi lama yang boleh memuatkan kira-kira 50 pelanggan dalam satu-satu masa.
Selain itu, perniagaan beliau kini berdepan dengan kesukaran mendapatkan pekerja baharu dari India berikutan pandemik memaksa pekerja sebelum ini pulang ke negara itu. Kini hanya ada lima orang pekerja berbanding 10 sebelum ini.

Beliau berharap pihak berkuasa berkaitan dapat membantu melalui geran sewa dan memberi peluang lebih ramai pekerja asing dalam industri makanan.
Meski pelbagai cabaran dihadapi, Gurdip tetap berazam untuk bertahan, lebih-lebih lagi atas desakan beberapa pelanggan tetapnya yang gemar akan menu capati di situ.
Kru FMT berpeluang merasai beberapa hidangan istimewa Restoran Santa. Capati dihidangkan segar dari kuali, lembut dan sesuai dicecah dengan kuah kari dhal yang pekat. Capati diuli dengan “atta” yang berkualiti baik atau gandum, tepung dan minyak sapi.
Bagi penggemar ayam, Restoran Santa menyediakan kari ayam dan masala, kedua-duanya tidak terlalu pedas dan dimasak dengan sempurna.

Sebagai pelengkap hidangan, “teh tarik istimewa” yang tidak terlalu manis adalah hasil gabungan sempurna teh dan susu lembu segar.
Menu lain yang tersedia termasuk sardin, roti canai, nasi goreng, dan mi.
Salah seorang pelanggan yang ditemui, Khairi Amnan, 61, berkata, dia menikmati makanan di Restoran Santa sejak lebih 30 tahun.
“Selepas saya mengalami serangan jantung, saya mula makan menu berkhasiat dan capati di sini sangat bagus untuk saya dan saya tak jemu makan capati setiap hari,” katanya.

Gurdip, yang tidak mahu mensia-siakan perniagaan yang ditinggalkan suaminya itu berhasrat mewariskan perniagaan Restoran Santa kepada anak lelakinya. “Ini adalah legasi,” katanya.
Restoran Santa (Rumah Capati)
Lot 21 & 22
Pertama Food Terrace, Kompleks Pertama
Jalan Tuanku Abdul Rahman
50100 Kuala Lumpur
Waktu perniagaan
7 pagi-5 petang: Isnin hingga Jumaat
7 pagi-3.30 petang: Sabtu, Ahad, cuti umum
Layari laman web dan profil Facebook Restaurant Santa, atau hubungi mereka di 012-2055037.