Bomba selamatkan lelaki cuba terjun dari pencawang

Bomba selamatkan lelaki cuba terjun dari pencawang

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, lelaki berusia 30-an terbabit berjaya dibawa turun menggunakan tangga sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Lelaki yang dipercayai cuba terjun dari sebuah pencawang telekomunikasi di Semporna berjaya diselamatkan bomba. (Gambar Bomba)
SEMPORNA:
Seorang lelaki yang dipercayai cuba terjun daripada sebuah pencawang telekomunikasi di Kampung Cina, Jalan Pekan Semporna, di sini, hari ini, berjaya diselamatkan pasukan bomba.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, lelaki berusia 30-an terbabit berjaya dibawa turun menggunakan tangga sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.51 tengah hari.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan empat anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa dikesan masih berada di bahagian atas pencawang berkenaan dipercayai cuba untuk membunuh diri.

“Pasukan bomba kemudiannya terus memanjat menara pencawang setinggi kira-kira 30 meter itu untuk memujuk lelaki terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, sebaik sampai di bahagian atas menara berkenaan, pasukan operasi terus menjalankan operasi memujuk mangsa untuk turun ke bawah.

Katanya, mangsa kemudiannya turun dengan sendiri melalui tangga sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Tiada kecederaan dilaporkan dan mangsa juga berada dalam keadaan selamat sebelum operasi tamat pada jam 2.47 petang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.