
Kesatuan pekerja berkata hotel patut menyalahkan diri sendiri dalam isu itu kerana terlalu bergantung kepada pekerja asing dan “kedekut” untuk menawarkan faedah pekerjaan yang setara kepada pekerja tempatan.
Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Hotel, Bar dan Restoran Semenanjung Malaysia Rusli Affandi, memberitahu FMT bahawa ramai rakyat Malaysia yang berminat untuk bekerja dalam sektor perhotelan tetapi mereka memilih untuk mengambil pekerja asing.
Katanya, hotel mula mengambil pekerja asing sejak kerajaan membuka peluang dalam sektor itu kepada mereka.
“Tetamu asing mahu melihat pekerja tempatan dan budaya mereka,” dakwanya.
“Berurusan dengan pekerja asing boleh memberi gambaran yang salah kepada mereka.”
Presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH) N Subramaniam berkata baru-baru ini berkata hotel belum bersedia untuk menerima kedatangan pelancong ketika negara merancang membuka semula pintu sempadan disebabkan kekurangan tenaga kerja.
Beliau mengaitkan kekurangan itu dengan beberapa faktor seperti kurangnya minat rakyat tempatan untuk bekerja di sektor itu. Rakyat Malaysia menganggap kerja hotel sebagai “kotor, bahaya dan sukar”.
Menurutnya, mereka telah menyuarakan masalah itu kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Nancy Shukri untuk membenarkan lebih ramai pekerja asing mengisi kekosongan jawatan.
Bagaimanapun, Rusli berkata hotel tidak melakukan sebarang usaha untuk menyediakan faedah pekerjaan bagi menarik rakyat tempatan bekerja dalam bidang itu.
Beliau mencadangkan supaya industri menghentikan pengambilan pekerja asing dan hanya mengambil rakyat tempatan yang boleh berperanan sebagai ‘duta’ Malaysia.
Manakala Ketua Pegawai Eksekutif MAH Yap Lip Seng berkata pekerja tempatan sentiasa menjadi pilihan utama ahli persatuan untuk diambil bekerja.
Katanya, generasi pekerja pada masa sekarang meletakkan harapan lebih tinggi berbanding sebelum ini biarpun hotel menawarkan kadar gaji yang hampir sama atau “lebih banyak” daripada apa yang ditawarkan oleh industri lain.
Beliau mendakwa bahawa generasi muda menganggap pekerjaan di hotel adalah sukar kerana mereka juga adalah pengembara dan telah biasa menerima layanan sebagai tetamu.
Namun, beliau menjangkakan sikap rakyat tempatan itu akan berubah dan ini adalah masanya untuk merancang strategi baharu bagi mempromosikan industri berkenaan sebagai pilihan terbaik untuk membangunkan kerjaya.
Beliau turut mencadangkan pengajian hospitaliti boleh diajar di peringkat sekolah.
“Imej industri harus dibina semula bagi membolehkan generasi baru memahami dan merasai pengalaman dalam industri perhotelan dengan lebih baik,” katanya.