1MDB: Banyak persoalan belum terjawab berhubung pembabitan Zeti, bekas menteri, kata Puad

1MDB: Banyak persoalan belum terjawab berhubung pembabitan Zeti, bekas menteri, kata Puad

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu Puad Zarkashi mencetuskan persoalan mengapa suami Zeti, Tawfiq Ayman, tidak disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA).

Puad Zarkashi berkata, banyak persoalan belum terjawab berhubung peranan Zeti Akhtar Aziz dan suaminya, Tawfiq Ayman, dalam skandal 1MDB.
PETALING JAYA:
Lebih banyak persoalan yang masih tiada jawapan susulan kaitan bekas Gabenor Bank Negara Zeti Akhtar Aziz dalam skandal 1MDB, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Puad Zarkashi.

Beliau juga mempersoalkan mengapa suami Zeti, Tawfiq Ayman, tidak disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA).

Sambil merujuk kepada laporan The Edge, Puad turut menimbulkan pertanyaan peranan yang dimainkan Vincent Cheah Chee Kong dan Shaik Aqmal Shaik Alauddin, yang mempunyai kaitan dengan syarikat Morningstar Equities, milik syarikat British Virgin Island.

Persoalan demi persoalan ditimbulkan Puad membabitkan hubung kait kekeluargaan Shaik Aqmal yang dikatakan sebagai anak saudara kepada bekas seorang menteri Kabinet.

Katanya, rakyat juga mahu mengetahui ke mana baki daripada keseluruhan RM700 juta yang didakwa diterima syarikat berkenaan, sedangkan Singapura hanya memulangkan RM65 juta sahaja.

“Rakyat Malaysia juga ingin mengetahui peranan yang dimainkan bekas Menteri Kabinet ini,” katanya di Facebook.

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah membuat pendedahan. Najib juga sudah buat laporan polis. Rakyat tunggu tindakan seterusnya kerana timbul terlalu banyak persoalan,” katanya.

Sabtu lalu, bekas Perdana Menteri Najib Razak, membuat laporan polis mendakwa terdapat bukti relevan berhubung kes mahkamah yang dihadapinya diselindung oleh beberapa orang penting dalam pelbagai agensi kerajaan termasuk ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Najib berkata, transaksi bernilai jutaan ringgit dikatakan mempunyai hubung kait dengan saksi pendakwaan dalam kes perbicaraan SRC International dan 1MDB, yang baru-baru ini dilapor atau sudah disahkan.

Antara saksi yang dilaporkan adalah “bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM)”.

SPRM sebelum ini dalam laporan mengesahkan sejumlah RM56 juta membabitkan dana berhubung kait 1MDB diperoleh semula daripada Cutting Edge Industries, syarikat berpangkalan di Singapura yang dikawal Tawfiq, dan rakan kongsinya, Samuel Goh.

Terdahulu, dilaporkan awal tahun ini, Iron Rhapsody, yang dimiliki Tawfiq dan anak lelakinya, menerima sejumlah RM66 juta daripada syarikat dan bank yang dikaitkan dengan figura utama dalam skandal 1MDB, ahli perniagaan dalam pelarian, Low Taek Jho (Jho Low).

Polis Singapura turut melaporkan kepada BNM pada 2015 dan 2016 berkenaan transaksi mencurigakan membabitkan syarikat dimiliki Tawfiq, dengan dana berkenaan dipindahkan daripada akaun yang mempunyai kaitan dengan Jho Low. Ketika itu, Zeti adalah Gabenor BNM.

Pada Isnin, bekas Peguam Negara Tommy Thomas, mendakwa Zeti dan Tawfiq “mempermudahkan” Jho Low.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.