
Pelan kerajaan menggunakan gabungan vaksin dalam botol yang dibeli terus daripada Sinovac serta vaksin yang dihantar sebagai bahan mentah kepada Pharmaniaga dan dibotolkan dalam negara.
Dalam laporannya berhubung perolehan vaksin Covid-19, PAC berkata, Putrajaya membayar 16.78% hingga 18.12% lebih tinggi daripada harga asal yang dipersetujui untuk 2.4 juta dos yang dihantar pada Mei dan Julai bagi mengimbangi kelewatan penghantaran.
“Kita (kerajaan) perlu membayar (harga) seperti premium dan ia telah dipersetujui oleh Jemaah Menteri. Kita hendak mempercepatkan (proses vaksinasi). Kalau tidak, terpaksa tunggu sampai bulan Oktober,” laporan itu memetik Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin sebagai berkata ketika mesyuarat bersama PAC pada 27 Julai lalu.
PAC berkata, ia berpendapat kerajaan sepatutnya mematuhi harga seperti yang ditetapkan dalam perjanjian asal dengan Sinovac.
Jualan pasaran persendirian
Julai lalu, pengedar vaksin dibenar memulakan penjualan pasaran swasta vaksin yang diimport, berbanding membawa masuk dos semata-mata untuk bekalan kerajaan sebelum ini.
Ketika itu, terdapat saranan menetapkan harga siling bagi mengurangkan kos kepada pengguna. Bagaimanapun, Pharmaniaga menetapkan harganya pada RM350 untuk dua dos, termasuk caj klinikal berjumlah RM50, yang pada tanggapan PAC terlalu tinggi walaupun tidak mempunyai masalah dengan beberapa tahap pengambilan keuntungan.
Laporan PAC berkata, syarikat itu kemudiannya mencadangkan harga siling RM260, yang kemudian dipersetujui Khairy bahawa harga berkenaan adalah mahal, ketika disoal Pengerusi PAC Wong Kah Woh.
““Pada pandangan saya sekarang, ia berada pada paras yang tinggi. Tetapi, kami perlu semak dengan mesyuarat JKJAV (Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19) bagi memahami apakah input kos untuk Pharmaniaga, termasuk logistik, penghantaran dan semua itu,” katanya semasa mesyuarat pada Julai.