
Pengerusi SAMENTA, William Ng, berkata Anugerah Sahabat PKS diberikan kepada portal itu bagi mengiktiraf sokongan berterusannya terhadap perusahaan kecil dan sederhana sepanjang pandemik Covid-19, malah sejak sebelum tempoh itu lagi.
“Media termasuk FMT memberi suara kepada PKS, dan anugerah ini bagi menunjukkan perkara itu mendapat perhatian. PKS amat menghargainya.
“Tanpa suara diberikan media ini kepada kami, kami tidak mungkin dapat memfokuskan tenaga dan perhatian kerajaan terhadap nasib PKS,” katanya pada Forum CEO PKS 2021 yang diadakan sempena ulang tahun ke-35 SAMENTA.
Media lain yang turut menerima anugerah itu hari ini adalah Sin Chew Daily, Berita Harian dan Bernama.
Pada acara itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Noh Omar menyampaikan anugerah berkenaan kepada Pengarang Berita FMT Sean Augustin.
Ditubuhkan pada 1986, SAMENTA adalah pertubuhan tertua Malaysia bagi perusahaan kecil dan sederhana.
Semalam, FMT antara 15 media tempatan yang menerima Anugerah “Service Above Self” oleh Rotary International District 3300.
Anugerah itu mengiktiraf mereka yang berusaha membantu golongan memerlukan, dan Kelab Rotary tahun ini memilih mengetengahkan kerja dilakukan media sepanjang pandemik Covid-19.