Loji ayam Thailand, China masih sah eksport

Loji ayam Thailand, China masih sah eksport

Kelulusan pelanjutan status eksport itu disahkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pengiktirafan Abatoir dan Loji Pemprosesan Luar Negara (JTPALLN) pada 29 Mei lalu.

Badan pengesahan halal luar negara yang diiktiraf oleh JAKIM ditugaskan khusus bagi memantau dan menyelia loji ayam di dua negara itu.
KUALA LUMPUR:
Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengesahkan status kelulusan sembilan loji ayam di Thailand dan dua di China yang tersenarai dalam laman sesawang JPV, masih sah untuk mengeksport ke negara ini.

JPV dan JAKIM dalam kenyataan memaklumkan, kelulusan pelanjutan status eksport itu disahkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pengiktirafan Abatoir dan Loji Pemprosesan Luar Negara (JTPALLN) pada 29 Mei lalu.

Jawatankuasa berkenaan dianggotai pegawai JPV, JAKIM, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

“Badan pengesahan halal luar negara yang diiktiraf oleh JAKIM telah ditugaskan khusus bagi memantau dan menyelia loji di kedua-dua negara berkenaan.

“Dua badan berkenaan ialah The Central Islamic Council of Thailand (CICOT) dan Shandong Halal Certification Service (SHC),” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, tempoh sah pengiktirafan JAKIM ke atas CICOT bermula 6 Sept hingga 31 Dis 2023, manakala bagi SHC pula hingga 23 Jan 2022.

Mengulas tempoh pengiktirafan SHC yang akan tamat pada 23 Jan depan, JAKIM berkata, “remote audit” atau audit jarak jauh dilaksanakan ke atas badan terlibat bagi proses pembaharuan pengiktirafan pada 5 hingga 20 April lalu.

“Pada 17 Jun lalu, mesyuarat Jawatankuasa Pengesahan Pengiktirafan Halal Luar Negara, JAKIM telah meluluskan pembaharuan pengikitirafan kepada SHC bermula 24 Jan 2022 hingga 31 Dis 2023 dan sijil baharu akan dikeluarkan selepas tempoh sedia ada tamat,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan video tular di media sosial melibatkan seorang penceramah bebas yang mendakwa loji ayam dari Thailand dan China yang mengeksport produk ayam ke Malaysia tamat tempoh dan tidak halal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.