Ambil langkah keselamatan elak penyakit berjangkit berkait banjir, kata Hisham

Ambil langkah keselamatan elak penyakit berjangkit berkait banjir, kata Hisham

Selain kes Covid-19, KKM juga menjangkakan penularan penyakit berjangkit berkaitan bencana alam itu meningkat.

Mangsa banjir diingatkan mengambil langkah keselamatan bagi mengelakkan penyakit berjangkit berkaitan banjir.
PETALING JAYA:
Kementerian Kesihatan (KKM) menasihatkan orang ramai di kawasan banjir mengambil langkah keselamatan bagi mengelakkan penularan penyakit berjangkit berkaitan banjir.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah menerusi kenyataan di Facebook berkata, selain kes Covid-19, KKM juga menjangkakan penularan penyakit berjangkit berkaitan bencana alam itu meningkat.

Beliau turut berkongsi infografik dan langkah keselamatan terperinci yang boleh diambil orang ramai dalam menghadapi situasi tersebut.

Antaranya, penggunaan alat pelindung diri seperti but dan sarung tangan getah semasa aktiviti pembersihan banjir lumpur bagi mengurangkan risiko penyakit berjangkit seperti leptospirosis (jangkitan air kencing tikus), melioidosis dan lain-lain penyakit bawaan air serta makanan.

“Orang ramai dinasihatkan mengambil air minuman dan makanan yang bersih serta tidak tercemar bagi mengelakkan kejadian penyakit bawaan air dan makanan seperti keracunan makanan, taun (kolera), hepatitis A dan demam kepialu (tifoid),” katanya menurut laporan Bernama.

Beliau turut memaklumkan KKM menyediakan pasukan perubatan di pusat pemindahan sementara (PPS) banjir yang membekalkan ubat-ubatan asas, cecair pembasmi kuman dan pelitup muka kepada mangsa banjir.

Orang ramai juga perlu mendapatkan rawatan segera dari pasukan perubatan di PPS banjir atau fasiliti kesihatan berhampiran jika mengalami sebarang gejala penyakit seperti demam, sakit perut, muntah, batuk dan sebagainya.

Ujian saringan Covid-19 juga akan dilakukan kepada mangsa banjir sebelum memasuki PPS bagi mengesan jangkitan awal Covid-19 serta memastikan tiada penularan berlaku di kawasan berkenaan, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.