
‘Abang’ (bukan nama sebenar) enggan identitinya didedahkan kerana bimbang ia akan memberi kesan terhadap keluarganya di Xinjiang.
Sejak 2014, penduduk Islam etnik Uyghur yang melarikan diri daripada penganiayaan di China itu telah melalui Malaysia untuk mendapatkan perlindungan di negara lain seperti Turki, namun masih ada sekumpulan kecil mereka di sana.
Bagaimanapun, ‘Abang’ tidak melarikan diri ketika datang ke sini.
“Saya datang pada 2014 untuk belajar bahasa Inggeris selepas menamatkan pengajian dalam jurusan seni bina di Xinjiang,” katanya kepada FMT.
“Namun, saya tidak boleh pulang ke China kerana ia tidak lagi selamat untuk saya. Dokumen sah saya juga telah tamat tempoh.”
Katanya, dia sering berjaga-jaga kerana bimbang lokasinya dikesan oleh pihak berkuasa China, mengekstradisi dan menghantarnya ke kem tahanan di Xinjiang.
Katanya, dia cuba memperbaharui dokumennya beberapa kali namun gagal.
Separuh daripada penduduk di Xinjiang, yang dipanggil sebagai Turkistan Timur, terdiri daripada etnik Uyghur yang kebanyakannya beragama Islam.
Menurut kumpulan hak asasi manusia, dalam beberapa dekad kebelakangan ini, terdapat penghijrahan besar-besaran orang Cina Han ke wilayah Xinjiang, yang didakwa didalangi oleh kerajaan untuk melemahkan populasi Uyghur.
China telah berulang kali dituduh melakukan kekejaman terhadap orang Uyghur, seperti memandulkan wanita secara wajib, buruh paksa dan keganasan seksual.
Bagaimanapun, China menafikannya.
‘Abang’ berkata dia datang ke Malaysia bersama isteri yang kemudiannya melahirkan bayi perempuan mereka. Bagaimanapun, isteri dan bayi berusia dua bulan itu kembali ke China pada 2018.
“Kali terakhir saya mendengar berita mereka ialah isteri telah ditahan dan dihantar ke kem dan saya tidak pasti di mana anak perempuan kami berada,” katanya.
“Anak perempuan saya sudah berusia empat tahun dan saya mungkin tidak dapat mendengarnya memanggil saya ‘ayah’.
“Saya tidak tahu apa yang berlaku di kem yang menempatkan isteri saya dan ia menghancurkan hati saya memikirkan penderitaan yang dialaminya.”
Namun dia tetap berharap. “Saya mungkin naif, tetapi saya masih percaya bahawa saya boleh bertemu keluarga lagi. Ia membuatkan saya ingin terus berjuang.”
Walaupun lelaki ini menetap di Malaysia dan tidak mempunyai dokumen sah buat masa ini, namun dia merasakan tidak akan diekstradisi kerana pendirian Malaysia terhadap isu Uyghur.
Presiden Malaysia4Uyghur Zuhri Yuhyi berkata Malaysia cuba mencari keseimbangan dalam mengekalkan hubungan baik dengan kuasa besar dan memenuhi harapan orang ramai.
“Apa yang China perlu faham ialah Malaysia ialah pro-Uyghur dan bukan anti-China, dan sehingga ia berlaku, ia agak sukar untuk Malaysia mengambil pendirian lebih kuat berhubung isu ini,” katanya.
Zuhri berkata kisah ‘Abang’ begitu menyedihkan.
“Memikirkan mengenai keluarga anda setiap hari adalah satu bentuk penyeksaan,” katanya.
“Namun dia tetap mempunyai kekuatan untuk terus berharap. Ia memberi satu pandangan yang berbeza dan mengingatkan kepada kita supaya menghargai segala yang kita ada.”