
Beliau berkata tidak mahu ada tekanan diberikan kepada pengguna jalan raya.
“Berikan mereka kebebasan memilih. Serah kepada pengguna untuk buat pilihan. Kalau mereka ada RFID, nak mudahkan perjalanan, mereka boleh tukar,” katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Jelajah Agrikomoditi.
Tambahnya, pilihan perlu diberikan seperti memperkenalkan penggunaan Touch ‘n Go sebelum ini.
“Waktu Touch ‘n Go diperkenalkan untuk bayaran tol, apabila Touch ‘n Go dan Smart Tag diperkenalkan, peringkat awal diperkenalkan nak guna tunai atau nak guna Touch ‘n Go,” katanya.
Pada Isnin, Menteri Kanan Kerja Raya Fadillah Yusof memberitahu, Touch ‘n Go dan PLUS supaya mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan masalah yang timbul akibat penggunaan sistem pembayaran RFID.
Ini susulan maklum balas orang ramai berhubung kesesakan teruk di sesetengah plaza tol selepas RFID mula digunakan di Lebuhraya Utara-Selatan dari Plaza Tol Juru di Pulau Pinang ke Plaza Tol Skudai di Johor.
PLUS memberitahu bahawa sekurang-kurangnya satu laluan RFID disediakan di setiap 83 plaza tol di sepanjang laluan sejauh 657 kilometer (km) itu.
Dalam pada itu, Ismail juga menasihatkan dari segi lorong laluan di tol juga perlulah seimbang.
“Dari segi lorong, jangan semua RFID. Kalau ada 10 lorong, mungkin beberapa lorong RFID dan selebihnya Touch ‘n Go dan Smart Tag,” katanya.
Ismail juga berkata telah meminta Fadillah untuk memanggil pemegang konsesi untuk bincang mengenai pilihan yang perlu diberi kepada pengguna.
Beliau juga akan memastikan sekiranya ada isu melibatkan bayaran seperti itu perlu dirujuk kepada Kabinet terlebih dahulu.