Lee Zii Jia sah keluar BAM; ‘Tekanan’ punca keputusan, kata Norza

Lee Zii Jia sah keluar BAM; ‘Tekanan’ punca keputusan, kata Norza

Peletakan jawatan pemain nombor tujuh dunia itu disahkan oleh Presiden BAM Norza Zakaria.

Lee Zii Jia menghantar surat peletakan jawatannya sebagai pemain bernaung di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM). (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perseorangan utama negara, Lee Zii Jia, sudah menghantar surat peletakan jawatan sebagai pemain Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Peletakan jawatan pemain nombor tujuh dunia itu, disahkan oleh Presiden BAM Norza Zakaria kepada FMT.

“Dia tidak dapat menerima tekanan dan dia mahu mencapai impiannya sendiri mengikut rentaknya sendiri,” kata Norza.

Terdahulu, pemain badminton itu, ketika ditemui pemberita di Akademi Badminton Malaysia pada Selasa, tidak mendedahkan butiran masa depannya dengan badan kebangsaan itu, namun berkata, “jika saya seorang pemberontak, anda tidak akan melihat saya dalam pusat latihan ini.”

Ketika itu, katanya, sebarang pengumuman berhubung masa depannya dengan badan berkenaan akan dibuat oleh BAM sendiri.

“Tugas saya hanya untuk berlatih, perform, menghasilkan keputusan yang baik dan membanggakan negara saya. Saya tidak ada komen mengenai khabar angin itu,” katanya apabila diminta menjawab isu khabar angin meninggalkan BAM.

Pemain perseorangan utama negara itu, kini berada pada kedudukan ketujuh dunia, dalam rangking Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Pemain berasal dari Kedah berusia 23 tahun itu, menjadi pemain perseorangan lelaki ketiga Malaysia memenangi gelaran juara All England selepas menewaskan pemain Denmark, Viktor Axelsen, pada perlawanan akhir, Mac tahun lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.