
KLANG: Ketika matahari terbit di Little India, para peniaga memulakan hari mereka dengan membuka kedai dan menantikan kehadiran pelanggan. Bulan ini lebih istimewa daripada biasa kerana berlangsungnya perayaan Pongal disusuli Thaipusam hanya beberapa hari selepas itu.
Namun apa harapan mereka bagi hari-hari yang mendatang?
Persoalan itu lebih mudah dijawab sebelum wabak Covid-19 membelenggu. Namun penularan virus korona diterukkan lagi dengan banjir besar yang melanda Klang baru-baru ini.
Ia sememangnya menjadi dugaan hebat bagi kebanyakan peniaga, termasuk Puspavalli Palaniyappan.

Puspavalli menjalankan perniagaan bunga warisan keluarga dengan kedai diusahakannya adalah antara 20 lain yang dapat dilihat di Little India.
Wanita berusia 65 tahun itu mengerahkan sepenuh kudrat setiap hari dan hanya menutup kedai pada lewat malam demi mencari rezeki seharian.
Puspavalli memberitahu FMT bahawa beliau mengambil alih perniagaan berusia lebih tiga dekad itu daripada ibunya. Malah nama kedai itu turut meminjam nama ibu disayangi, P Periakka, yang meninggal dunia pada 2012.
“Ibu menjalankan perniagaan ini seorang diri dan saya sering mengikutnya. Apabila tiba suatu masa, beliau kemudian meminta saya mengambil alih daripadanya,” jelas Puspavalli.
Menurut Puspavalli, perniagaan itu lebih banyak meraih keuntungan ketika zaman ibunya kerana waktu itu tiada kedai bunga di Klang, selain di Little India.
Bagaimanapun katanya, semakin masa berlalu, semakin banyak juga kedai bunga lain dibuka di kawasan kejiranan di sekitar Klang.
Keadaan menjadi lebih sukar apabila wabak melanda, sehinggakan beliau tiada pilihan selain menutup kedai selama tiga bulan disebabkan sekatan pergerakan yang dilaksanakan.
“Memang tempoh itu begitu sukar kerana saya tetap perlu menggajikan pekerja walaupun diri sendiri tiada pendapatan,” kata Puspavalli dengan menjelaskan bahawa beliau tetap memastikan pekerjanya mampu makan dan membayar sewa rumah, malah turut diberikan wang saku.

Katanya, perniagaannya terus lembap apabila dibenarkan beroperasi selepas tempoh sekatan pergerakan berakhir.
Namun malang, dugaannya tidak berakhir di situ apabila banjir besar pula melanda pertengahan Disember lalu.
Bukan sahaja beliau tidak dapat berniaga malah langsung tidak dapat pergi ke kedainya, manakala enam pembekal yang membekalkan bunga kekwa, melur, mawar, dan orkid juga terhalang untuk membuat penghantaran ke kedainya disebabkan semua laluan lebuh raya ke Klang terputus akibat banjir.
Lebih teruk lagi apabila harga barangan melonjak – sesuatu yang tidak mengejutkan susulan wabak dan banjir. Pelanggannya bagaimanapun tidak sanggup membayar harga yang lebih mahal dan tidak kurang juga yang marah kerana harga lebih tinggi dikenakannya.
Bagi memujuk pelanggannya dan memastikan mereka tidak beralih kepada peniaga lain, Puspavalli akur dan bersedia menjual bunganya pada harga lama walaupun keuntungan yang diperoleh terlalu sedikit.
Tetap optimis walaupun masa depan tak menentu
Pelanggannya yang kebanyakannya berbangsa India dan Cina membeli bunga dan kalungan bunga untuk tujuan keagamaan, festival atau upacara khas lain.
Jadi apakah harapan Puspavalli dengan sambutan Thaipusam kali ini?
“Thaipusam lazimnya tidaklah menguntungkan sangat bagi peniaga bunga di Klang kerana adalah lebih mudah bagi orang ramai membeli bunga di kawasan Batu Caves,” katanya.

Puspavalli bagaimanapun tetap bersyukur kerana masih ada pelanggan yang terus memilih kalungan bunga yang dihasilkannya kerana sukakan corak rekaannya.
Beliau mengakui keadaan semakin mencabar bagi perniagaannya, lebih-lebih lagi dirinya yang bujang. Ini bererti tiada sesiapa yang akan mewarisi kedai itu daripadanya kelak.
“Ahli keluarga lain tidak tahu bagaimana untuk menjalankan perniagaan ini dan saya pula tidak tahu siapakah yang akan mengambil alih selepas saya. Jadi selagi nyawa dikandung badan, saya akan terus mengusahakannya,” katanya.
Puspavalli tidak menafikan rasa sedih yang dirasai apabila memikirkan bahawa legasi ibunya itu tidak dapat diteruskan selepas beliau tiada.
“Saya tidak fikir golongan muda berminat dengan perniagaan ini kerana mereka pasti mahukan sesuatu yang lebih baik. Perniagaan ini juga tidak menguntungkan seperti satu ketika dulu.”
Selain itu, beliau mengakui tidak ramai pelanggan bersedia meredah kesesakan lalu lintas dan mencari tempat meletak kereta di Little India semata-mata untuk membeli bunga di situ kerana mungkin ada kedai di kejiranan mereka sendiri.
Bagaimanapun Puspavalli terus positif dan percaya keadaan pada tahun ini pasti lebih baik.
Madam P Periakka Flower Shop
No 20A, Lorong Tingkat
41000 Klang
Selangor Darul Ehsan
Waktu perniagaan: 8.30 pagi -9.30 malam setiap hari