Maklumkan segera SOP umrah, MATTA beritahu kerajaan

Maklumkan segera SOP umrah, MATTA beritahu kerajaan

Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) berkata ia perlu dimaklumkan segera bagi membolehkan semua agensi membuat persediaan.

Umat Islam dibenarkan mengerjakan ibadah umrah bermula 8 Feb ini. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menggesa Putrajaya memaklumkan segera prosedur operasi standard (SOP) dan prosedur kuarantin untuk bakal jemaah umrah selepas ibadah itu dibenarkan semula pada 8 Feb ini.

Naib Presiden Haji dan Umrah MATTA Mohd Azri Abd Razak berkata, ia perlu dilakukan secepat mungkin memandangkan kebenaran itu diberikan dalam tempoh seminggu dari sekarang dan agensi perlu melakukan persediaan yang sepatutnya.

Beliau juga menyarankan supaya jemaah yang lengkap vaksin hanya dikenakan kuarantin kendiri di rumah sebaik pulang dan jemaah yang telah menerima dos penggalak tidak perlu menjalani sebarang kuarantin sekiranya keputusan ujian negatif.

Katanya, Arab Saudi tidak mengenakan kuarantin terhadap jemaah Malaysia yang lengkap vaksin dan gelembung pelancongan Langkawi juga tidak mengenakan kuarantin kepada pelancong luar negara yang lengkap vaksin selagi keputusan ujian mereka negatif.

Azri berkata, MATTA juga menggesa supaya pembukaan sempadan dilakukan memandangkan kebanyakan rakyat Malaysia telah mengambil dos penggalak.

Katanya, negara ini adalah salah satu negara terakhir berbuat demikian.

“Perkara ini perlulah diambil perhatian bagi menyelamatkan ekonomi negara dan agensi pelancongan terutamanya syarikat Bumiputera yang terlibat dalam pengurusan umrah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.