PRN Johor: Pelbagaikan kelayakan undi pos, termasuk mahasiswa, MUDA beritahu SPR

PRN Johor: Pelbagaikan kelayakan undi pos, termasuk mahasiswa, MUDA beritahu SPR

Ada pengundi Johor yang sukar pulang seperti yang berada di Sabah dan Sarawak, selain mahasiswa di institusi pengajian tinggi (IPT).

Presiden MUDA Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata kelonggaran mengundi secara undi pos perlu diberikan supaya hak mengundi semua rakyat Johor terjamin.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mempertimbang mempelbagai kelayakan undi pos, bagi memastikan peratusan tinggi keluar mengundi pada pilihan raya negeri (PRN) Johor, kata Presiden MUDA Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Beliau berkata, ada pengundi Johor yang sukar pulang seperti yang berada di Sabah dan Sarawak, selain mahasiswa di institusi pengajian tinggi (IPT).

Beliau yang juga Ahli Parlimen Muar, berkata kumpulan itu perlu diberikan kelonggaran mengundi secara undi pos, supaya hak mengundi semua rakyat Johor terjamin.

“Bagi kira-kira 200,000 rakyat negeri ini yang bekerja di Singapura pula, MUDA harap mudahkan prosedur mengundi, termasuk di kedutaan Malaysia di negara republik itu.

“Ini tanggungjawab SPR untuk memastikan peratusan keluar mengundi tinggi,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Ahad lalu, Pemuda PKR mencadangkan inisiatif Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat khas disediakan kepada kira-kira 200,000 pengundi Johor di Singapura, selain mempermudah mereka menunaikan tanggungjawab mengundi dalam PRN Johor.

Hari ini, Presiden Persatuan Mahasiswa Anak Johor (PERMAJ) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Muhammad Alif Azri, mencadangkan pelaksanaan undi pos bagi mahasiswa perlu mengambil kira pelbagai aspek, termasuk prosedur dan tatacara memandangkan jumlah pelajar IPT di Malaysia mencecah lebih 400,000.

Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata, SPR perlu mempertimbang cadangan yang disuarakan pelbagai pihak dalam memastikan proses demokrasi itu berjalan lancar dan mencapai maksudnya.

“Ini tanggungjawab SPR untuk memastikan rakyat di negeri ini boleh menjalankan hak mereka keluar mengundi, khususnya mereka yang pertama kali mengundi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.