
Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii berkata, harga kit ujian kendiri tidak boleh naik mendadak, terutama apabila permintaan terhadap barangan itu bertambah susulan peningkatan kes Covid-19 di seluruh negara.
Yii berkata, salah satu asas untuk memendekkan tempoh lonjakan varian Omicron ialah keperluan ujian segera disebabkan penularannya yang pantas.
Beliau berkata, ini menyebabkan peralihan kepada kit ujian kendiri penting.
Katanya, ia penting untuk memastikan pengesanan jangkitan di makmal tidak tertangguh berikutan bilangan kes yang tidak pernah berlaku sebelum ini kerana kebanyakan kemudahan ini berdepan masalah kekurangan kakitangan.
“Wabak Omicron yang tidak terkawal pasti akan meningkatkan kadar kemasukan ke hospital dan membebankan sistem ujian,” katanya dalam kenyataan.
Yii berkata, negeri seperti Sabah dilaporkan menghadapi kekurangan kit ujian kendiri berikutan pengesanan yang dipertingkatkan terutamanya beberapa hari lalu dengan 1,600 kes direkodkan semalam.
“Kerajaan mesti membuat semakan umum dan audit ke atas ketersediaan kit ujian seumpama itu di seluruh negara,” katanya.
Insentif dan geran juga boleh diberikan kepada syarikat tempatan untuk menghasilkan lebih banyak kit ujian dan idealnya, ia harus diedarkan kepada orang ramai secara percuma.
“Omicron telah menjadi ‘game-changer’. Ia benar-benar menjadi pemangkin peralihan kepada ujian antigen pantas berskala besar dan kita mesti bersedia untuk itu atau kita akan terus ketinggalan,” katanya.