
Katanya, setiap wakil parti politik memberi pandangan berbeza berhubung definisi lompat parti bagi membolehkan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti dibentang di Parlimen.
“Apabila draf undang-undang ini dihantar kepada Jabatan Peguam Negara, kemudian dihantar balik kepada kementerian saya, hampir 20 persoalan dasar mesti dijawab oleh pihak kerajaan dan ia memerlukan sesi libat urus .
“… contohnya istilah lompat parti apa, macam mana contoh dalam gabungan BN ada Umno, MCA, MIC adakah kalau wakil Umno masuk MCA itu dikira lompat begitu juga dalam gabungan PH, ini semua soalan dasar yang perlu dijawab,” katanya ketika menjadi tamu dalam program Agenda Awani hari ini.
Wan Junaidi berkata, pihaknya turut melibatkan beberapa pakar perlembagaan untuk merungkai persoalan setelah mendengar pandangan dari wakil parti.
Susulan itu katanya, beberapa persoalan dasar yang dibangkitkan Jabatan Peguam Negara masih belum dapat diselesaikan dan Jemaah Menteri dua minggu lalu memutuskan supaya sesi libat urus dengan pemimpin parti politik diteruskan bagi mencapai kata putus.
“Saya masih bincang untuk teruskan (libat urus) ini sebab (ia) keputusan ini dibuat dua minggu lepas, nak menetapkan tarikh perjumpaan dengan pemimpin parti di Sabah, Sarawak dan parti di Semenanjung supaya beri penjelasan berhubung RUU yang kita bakal bawa untuk ubah suai,” katanya,
Wan Junaidi bagaimapun menaruh keyakinan, kerajaan mampu menepati janji yang dibuat melalui memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) melibatkan pelaksanaan RUU Anti Lompat Parti.
Katanya, pihaknya juga optimis RUU Anti Lompat Parti termasuk rang undang-undang untuk menghadkan penggal Perdana Menteri kepada 10 tahun dapat dibentang Mac ini walaupun jangkaan sebelum ini perkara itu akan dibawa ke Parlimen pada Julai.