
Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, lawatan itu adalah atas undangan rakan sejawatannya dari Kemboja, Samdech Techo Hun Sen dan Perdana Menteri Thailand Jeneral Prayuth Chan-o-cha.
Semasa lawatannya ke Kemboja pada 23 hingga 24 Feb, Ismail dijadual menghadap Raja Kemboja, Raja Norodom Sihamoni dan mengadakan pertemuan dengan Hun Sen.
“Kedua-dua pemimpin akan membincangkan inisiatif untuk mengukuhkan lagi hubungan Malaysia-Kemboja, termasuk kerjasama pasca-Covid-19, kerjasama ASEAN, serta isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama,” menurut kenyataan itu.
Ismail turut dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden Senat dan Presiden Dewan Rakyat Kemboja selain bertemu Keluarga Malaysia yang berada di negara itu.
Semasa lawatan ke Thailand dari 24 hingga 26 Feb, Ismail akan mengadakan pertemuan dengan Prayuth, sekali gus memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin membincangkan hala tuju kerjasama pelbagai bidang antara Malaysia dan Thailand.
“Bidang-bidang utama meliputi kerjasama ekonomi, kerjasama pascapandemik Covid-19, pembukaan sempadan dan kesalinghubungan di kawasan sempadan darat antara kedua-dua negara,” menurut kenyataan itu.
Perdana Menteri turut dijadual mengadakan sesi pertemuan dengan Dewan Perniagaan Malaysia–Thailand (MTCC) dan sesi ramah mesra bersama Keluarga Malaysia di Bangkok.
Lawatan ke Kemboja dan Thailand mencerminkan hubungan rapat serta menyeluruh Malaysia dengan kedua-dua negara jiran dan rakan ASEAN itu.
“Ia juga dapat membuka peluang kepada Malaysia dan kedua-dua negara berkenaan meneroka inisiatif bersama dalam usaha pemulihan pascapandemik serta menangani cabaran serantau dan antarabangsa,” menurut Wisma Putra.
Perdana Menteri akan diiringi Menteri Luar Saifuddin Abdullah; Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali; Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Jalaluddin Alias; Pengerusi RISDA Mohd Salim Mohd Sharif serta pegawai kanan kerajaan.
Lawatan itu diadakan menurut prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia, Kemboja dan Thailand.