PRN Johor: MUDA tak ada ‘harta perang’ macam BN, poster hanya di tempat strategik

PRN Johor: MUDA tak ada ‘harta perang’ macam BN, poster hanya di tempat strategik

Naib Presiden MUDA Zaidel Baharuddin berkata parti itu berdepan kekangan berikutan kewangan yang sangat terhad.

MUDA memutuskan untuk letak poster, bunting, bendera dan sebagainya di tempat strategik sahaja kerana kekangan kewangan, kata Naib Presidennya, Zaidel Baharuddin. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
MUDA tidak mempunyai ‘harta perang’ seperti Barisan Nasional (BN) dan hanya melabur dalam kempen fizikal di tempat strategik, kata Naib Presidennya, Zaidel Baharuddin.

Katanya, pergerakan parti itu berdepan kekangan berikutan kewangan yang sangat terhad.

Zaidel berkata, MUDA harus cakna dalam pengurusan kewangan parti, khususnya dalam pengagihan untuk tujuan kempen, pembiayaan deposit calon dan seliaan operasi.

“MUDA tak macam BN, kita tiada ‘harta perang’ yang besar, justeru setiap ringgit itu bernilai dan perlu tentukan nak bawa setiap ringgit yang dikumpulkan ke mana?

“Maka, kita putuskan untuk letak poster, bunting, bendera dan sebagainya di tempat strategik sahaja.

“Berikutan kekangan kewangan, MUDA akan imbangi kempen fizikal dan media sosial yang ternyata turut memberi kesan dalam aspek meluaskan capaian calon dalam kalangan pengundi di Johor,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Pada pilihan raya negeri (PRN) Johor, MUDA bertanding di tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) membabitkan Tenang, Parit Raja, Machap, Larkin, Puteri Wangsa, Bukit Permai dan Bukit Kepong.

Secara perbandingan, Zaidel berkata, kempen media sosial yang semakin sinonim sejak pandemik Covid-19 berupaya memberi sentuhan tersendiri dalam kalangan pengundi.

Katanya, hal itu kerana video pendek 60 saat yang sering dijadikan bahan kempen MUDA untuk disebarkan di pelbagai saluran media sosial dilihat mencetuskan impak positif.

“Sekarang hampir semua tempat ada internet dan orang ramai pun mempunyai telefon pintar, justeru capaian bersandarkan kempen media sosial ini sangat luas.

“Bendera ini penting, tetapi harus kita ingat bahawa ia bukan penanda aras mengenai penerimaan pengundi kepada parti tertentu. Contohnya, walaupun setiap tiang lampu mempunyai bendera parti, tidak semestinya ia melambangkan satu undi atau penerimaan penduduk,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.