
Menurut sumber yang dipetik Bernama, wanita itu hadir ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya kira-kira 9 pagi dan proses mengambil keterangannya berlangsung selama tiga jam.
“SPRM ambil keterangan beliau sekali lagi hari ini bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung beberapa perkara. Terdapat beberapa dokumen yang SPRM ambil daripada beliau bagi membantu siasatan,” katanya.
Wanita itu sudah memberi keterangan kepada SPRM Khamis lepas yang berlangsung selama sembilan jam bagi membantu siasatan berkaitan isu berkenaan yang disebut dalam perbicaraan kes 1MDB di AS.
SPRM memaklumkan kes itu disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001.
Isu berkaitan rumah di London dan nama Rohana disebut oleh bekas Pegawai Bank Goldman Sachs Group Inc Tim Leissner yang mendakwa mereka mempunyai hubungan sejak 2003 hingga 2013 dan berakhir apabila Leissner berkahwin dengan selebriti Kimora Lee.
Leissner mengaku bersalah pada 2018 kerana terbabit dalam pelanggaran undang-undang antirasuah AS dan konspirasi pengubahan wang.