
Dalam jawapan bertulis kepada Cha Kee Chin (PH-Rasah), Nanta berkata, kenaikan harga komoditi sawit menyebabkan kementerian perlu membuat pengiraan semula peruntukan serta memohon tambahan peruntukan daripada Kementerian Kewangan.
“Namun demikian, bekalan kembali pulih setelah kementerian menerima peruntukan tambahan daripada Kementerian Kewangan dan semua bayaran tunggakan kepada pihak syarikat pembungkus telah pun dijelaskan sebaik sahaja kementerian menerima peruntukan tersebut,” katanya.
Nanta berkata, peningkatan permintaan terhadap minyak masak pek polibeg 1kg yang di luar daripada kebiasaan juga, adalah antara sebab berlaku kekurangan jenis terbabit di pasaran tempatan.
“Berikutan peningkatan harga minyak masak dalam botol (tidak bersubsidi) menyebabkan pengguna dan peniaga kecil beralih daripada minyak masak dalam botol kepada minyak masak dalam bentuk polibeg dengan harga ditetapkan jauh lebih rendah, iaitu RM2.50 bagi setiap kilogram,” katanya.
Menurutnya, bagi memastikan bekalan minyak masak pek polibeg 1kg mencukupi, kementerian menetapkan had pembelian bagi setiap isi rumah tidak melebihi tiga paket.
Beliau juga memberi amaran kepada peniaga restoran supaya tidak menyalahgunakan minyak masak paket bagi meningkatkan margin keuntungan makanan yang dimasak.
Selain itu Nanta berkata, kerajaan meneruskan program mekanisme kawalan harga minyak masak, iaitu subsidi minyak masak dalam botol sehingga 31 Mac ini bagi memastikan rakyat diberi pilihan untuk mendapatkan minyak masak pada harga berpatutan walaupun harga komoditi sawit melonjak tinggi.
“Kementerian juga akan memastikan agihan minyak masak pek polibeg 1kg mencukupi di negeri-negeri berdasarkan nisbah penduduk,” katanya.