
Ia adalah tempoh yang paling sibuk buat Loh sepanjang lapan hari lalu apabila terpaksa menjawab pertanyaan wartawan dan rakyat Malaysia yang bermurah hati menawarkan bantuan untuk dia dan tiga anaknya.
Selasa lalu, dia terpaksa meninggalkan kerjayanya yang menjanjikan peluang cerah di sebuah hotel, di mana dia menyediakan masakan Cina dan India.
Dia dan anak kembar perempuannya berusia 14 tahun serta anak lelaki, 10, disatukan bulan lalu selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan habeas corpus Loh untuk mendapatkan semula hak penjagaan tiga anaknya.
Mereka berpisah sejak 2019 ketika Loh tinggal di pusat perlindungan kerajaan untuk mangsa penderaan rumah tangga. Sejak itu, anak-anaknya diislamkan oleh bapa mereka tanpa kebenaran Loh dan dijaga oleh badan bukan kerajaan (NGO) Islam di Pulau Pinang.
Katanya, dia berhenti kerja kerana bimbang dengan keselamatan dan masa depan anak-anak.
“Saya tidak akan dapat bekerja dengan tenang ketika anak berada jauh dari saya,” katanya.
“Saya akan cuba membuka gerai makanan berhampiran tempat tinggal atau lebih baik lagi memulakan perniagaan kendera saji. Ia lebih fleksibel dan saya boleh memantau anak-anak dengan lebih dekat.”
Dia berkata, sebuah parti politik telah menawarkannya peluang untuk membuka gerai di kantin sebuah kolej di Hulu Kelang, Selangor tetapi dia bimbang dengan daya saing gerai di situ.
“Saya rasa kendera saji lebih baik kerana saya dapat berniaga makanan di kawasan berbeza. Ada yang menawarkan bantuan berkata mereka akan cuba mendapatkan kendera saji untuk saya,” katanya.
Loh berkata, dia bersyukur kerana ramai yang menawarkan bantuan untuknya membina semula keluarga.
Antara yang membantu Loh ialah pengasas Yayasan Chow Kit Hartini Zainuddin yang memulakan kutipan derma dalam talian. Sejak Ahad, sebanyak RM15,850 berjaya dikumpul.
Selain kutipan derma, Hartini juga mengaturkan sukarelawan untuk menjadi tutor kepada tiga anaknya bagi membantu mereka mengejar semula pembelajaran.
“Kami tersentuh dengan penderitaan yang dialaminya bertahun-tahun dan perjalanannya untuk disatukan dengan anak-anak. Kami melakukan segala yang terdaya untuk membantu dia dan anak-anaknya memulakan kehidupan baharu.”