PRN: Jangan undi parti yang tipis peluang untuk menang, kata Najib

PRN: Jangan undi parti yang tipis peluang untuk menang, kata Najib

Bekas Perdana Menteri berkata, PRN Johor perlu menghasilkan sebuah kerajaan yang stabil.

Najib Razak turut menggesa rakyat Johor pulang mengundi pada pilihan raya negeri, 12 Mac ini.
PETALING JAYA:
Rakyat Johor digesa supaya tidak memberi undi kepada parti-parti yang mempunyai peluang tipis untuk menang pada pilihan raya negeri (PRN), 12 Mac ini.

Bekas Perdana Menteri Najib Razak berkata, PRN Johor perlu menghasilkan sebuah kerajaan yang stabil.

“Jangan kita tukar daripada sebuah kerajaan tidak stabil, kepada sebuah lagi kerajaan yang juga tidak stabil.

“Zaman pandemik bercampur dengan kelemahan ekonomi sejak PRU14 bermakna ini bukanlah masanya untuk mengambil apa-apa risiko sama-sama kita pastikan kemenangan rakyat di Johor,” katanya di Facebook, hari ini.

Najib berkata, ketika pemerintahan BN, Johor mencatatkan pertumbuhan sekitar 6% namun setelah diambil alih PH, ekonomi negeri itu kian merosot sehingga jatuh ke sekitar 2.7%.

“Jika kita imbas kembali ke tahun 2016, 2017 dan 2018 juga, Johor merupakan negeri yang mempunyai jumlah pelaburan tertinggi.

“Malangnya, selepas tahun 2018 daya tarikan Johor malah Malaysia sebagai destinasi pelaburan terpilih telah jatuh di kalangan pelabur antarabangsa dan tempatan,” katanya.

PRN Johor menyaksikan 239 calon daripada 11 parti politik termasuk calon bebas layak bertanding, dengan persaingan empat hingga tujuh penjuru.

Menerusi rakaman tersebut, Najib meminta supaya rakyat Johor memberikan undi kepada parti yang diyakini mampu membawa pembangunan dan pemulihan sebenar kepada ekonomi negara.

Najib berkata, jika direstui rakyat, BN ingin bersama-sama saudara-saudari mengembalikan kestabilan masa depan.

Ahli Parlimen Pekan itu turut menyeru warga Johor yang berada di perantauan untuk pulang mengundi.

“Buat warga Johor yang berada di perantauan lain, ataupun di luar daerah mengundi, saya menyeru supaya saudara-saudari semua dapat pulang ke kampung dan bersama-sama penduduk tempatan memberikan sokongan kepada calon-calon BN,” kata Najib.

PRN ini menyaksikan seramai 2,597,742 orang layak mengundi melibatkan 2,574,835 pengundi biasa dan 22,531 pengundi awal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.