Jangan fitnah, ADUN Puteri Wangsa nafi tak bantu mangsa kebakaran

Jangan fitnah, ADUN Puteri Wangsa nafi tak bantu mangsa kebakaran

Amira Aisya Abd Aziz mengakui berada di luar kawasan pada hari kebakaran, tetapi beliau telah menghubungi wakil komuniti dan pengurus Felda Ulu Tebrau untuk mengetahui keadaan.

Amira Aisya Abd Aziz didakwa menghilangkan diri pada hari lima premis perniagaan terbakar dan pegawainya didakwa mengatakan wakil rakyat itu tidak dapat membantu kerana belum mengangkat sumpah sebagai ADUN.
PETALING JAYA:
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Amira Aisya Abd Aziz menafikan wakilnya bersikap lepas tangan terhadap aduan kebakaran lima premis perniagaan di Felda Ulu Tebrau, Johor Bahru pada Jumaat lalu.

Setiausaha agung MUDA itu didakwa menghilangkan diri, manakala pegawainya didakwa mengatakan Amira tidak dapat membantu kerana belum mengangkat sumpah sebagai ADUN.

Amira berkata, dakwaan yang tular di media sosial bahawa wakilnya memberi alasan itu untuk tidak menghulurkan bantuan adalah tidak benar.

Tonton video di sini.

Beliau mengakui berada di luar kawasan pada hari kejadian, tetapi telah menghubungi wakil komuniti di Felda Ulu Tebrau dan pengurus Felda Ulu Tebrau untuk mengetahui keadaan.

“Saya juga berkesempatan menziarah rumah kedai yang terkesan dan Alhamdulillah selepas itu, Sultan Johor juga berkenan mencemar duli turun ke kawasan dan membiayai pembinaan keseluruhan rumah kedai terjejas.

“Saya tahu wakil saya di kawasan tersebut tidak akan berkata begitu seperti yang ditularkan, itu tidak benar. Ini kerana selepas pilihan raya negeri (PRN) Johor, kami terus turun padang dan cuba selesaikan masalah penduduk setempat,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Amira berkata, bagi isu di luar bidang kuasa mereka, ia akan disalurkan kepada pihak berwajib atau agensi kerajaan berkaitan.

Sebagai wakil rakyat katanya, beliau akan bekerja keras membantu rakyat di kawasan itu dan jika terdapat kekurangan, beliau terbuka menerima teguran atau kritikan membina, tetapi bukannya fitnah dan tuduhan.

Sementara itu, pembinaan lima premis perniagaan di Felda Ulu Tebrau yang musnah dalam kebakaran minggu lalu, bermula pagi tadi, dengan semua kos dibiayai sepenuhnya Yayasan Sultan Ibrahim Johor.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dalam catatan Facebook bertitah, pembinaan semula itu dimulakan kurang 24 jam selepas baginda melawat deretan kedai itu semalam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.