Ahli MPP, Abdullah Sani akan tanding jawatan naib presiden PKR

Ahli MPP, Abdullah Sani akan tanding jawatan naib presiden PKR

Abdullah Sani Abdul Hamid tidak akan mempertahankan kedudukannya sebagai ahli MPP.

Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, beliau memutuskan untuk bertanding jawatan naib presiden PKR bagi menyuburkan proses demokrasi dan persaingan kekeluargaan dalam parti itu.
PETALING JAYA:
Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Abdullah Sani Abdul Hamid mengumumkan beliau akan bertanding jawatan naib presiden dalam pemilihan parti bulan depan.

Ahli Parlimen Kapar itu berkata, keputusan itu diambil bagi menyuburkan proses demokrasi dan persaingan kekeluargaan di dalam PKR.

“Saya telah membuat keputusan untuk tidak lagi mempertahankan kedudukan saya sebagai ahli MPP,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada pemilihan PKR 2018, Abdullah Sani memenangi jawatan ahli MPP dengan 22,619 undi.

Sebelum ini, tiga pemimpin PKR mengumumkan akan merebut lima jawatan naib presiden, iaitu Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, bekas Ahli Parlimen Kapar, Manivannan Gowin dan Ketua PKR Cawangan Kota Raja, Dr Gunaraj George.

Abdullah Sani berkata, perjuangan reformasi “belum tertegak dengan sepenuhnya”, walaupun PKR dan PH berjaya menawan Putrajaya selepas memenangi pilihan raya umum pada 2018.

“Kita kemudian dikhianati oleh orang selama ini yang dilihat sebagai pendukung perjuangan ini.

“Peristiwa ‘Langkah Sheraton’ mengajar kita untuk lebih mengenali siapa kawan dan siapa lawan,” katanya merujuk “Langkah Sheraton” sebagai sekumpulan ahli PKR yang bersekutu dengan Bersatu untuk menubuhkan kerajaan Perikatan Nasional.

Beliau turut mengingatkan ahli PKR untuk bekerja dalam pasukan bagi memperkukuhkan parti.

“Walau kita tak senada, kita harus selagu. Walau kita tak sama, Kita harus bersama-sama. Ayuh perkukuh langkah sederap, bersama ke arah ‘reform’ Malaysia yang sebenar

Pemilihan PKR akan diadakan pada 13 hingga 18 Mei, manakala pencalonan ditetapkan pada 9 April ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.