
Ia berikutan sabitan terhadap bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng minggu lalu, selepas berkomplot untuk melanggar undang-undang anti-rasuah untuk membantu menyelewengkan ratusan juta dolar daripada 1MDB.
“Atas keterlibatan yang jelas Goldman Sachs dalam ‘scam’ ini, saya ulang pendirian bahawa penyelesaian yang dicapai antara kerajaan Malaysia dan Goldman Sachs pada tahun 2020 adalah pramatang dan gagal untuk mengambil kira tahap kerugian yang sedang dan akan terus ditanggung rakyat Malaysia,” katanya di Facebook.
Tonton video di sini.
Katanya, walaupun Ng telah disabitkan kesalahan dengan jenayah dalam skandal 1MDB, namun untuk menyebut bahawa keadilan telah ditegakkan adalah sangat tidak jujur.
“Kenyataan saksi sepanjang perbicaraan ini hanya mengungkapkan kesalahan dan peranan banyak orang.
“Pegawai kanan Goldman Sachs yang terlibat dengan skandal 1MDB tidak boleh melepaskan diri daripada kelalaian mereka serta kerosakan dan kerugian yang diakibatkan kepada Malaysia,” katanya.
Ng, 49, dituduh mengambil sogokan berjumlah USD35.1 juta untuk membantu ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low mencuri USD2.7 bilion daripada 1MDB.
Dia didakwa atas tiga pertuduhan bersubahat dan berdepan hukuman penjara sehingga 30 tahun jika sabit kesalahan.
Anwar berkata, terdapat banyak jaminan yang diberikan oleh pihak berkuasa bahawa Jho Low dan gerombolannya akan diberkas, namun sehingga kini ia belum terhasil.
“Watak-watak ini bergerak bebas di Malaysia selama bertahun-tahun sehinggalah beberapa hari sebelum pilihan raya umum yang lalu.”
Beliau juga mempersoalkan peluang yang terlepas untuk mengheret konspirator ‘scam’ ini ke muka pengadilan.
“Saya tidak akan berdiam diri selagi mereka ini tidak muncul di mahkamah di Malaysia. Kami mahukan keadilan untuk rakyat Malaysia,” katanya.