Mangsa banjir kilat lupakan hasrat sambut Aidilfitri

Mangsa banjir kilat lupakan hasrat sambut Aidilfitri

Saban tahun Kampung Segambut Dalam akan ditenggelami banjir kilat dan sehingga kini pihak berkuasa tidak memaklumkan apakah punca bencana itu.

Hartini Partosmito dan warga Kampung Segambut Dalam diuji dengan banjir kilat separas leher, ketika umat Islam bersiap untuk menyambut hari raya.
KUALA LUMPUR:
Hartini Partosmito, 36, termenung melihat longgokan baju yang basah kerana tenggelam dalam kejadian banjir kilat di Kampung Segambut Dalam, Isnin lepas.

Dalam fikirannya kini hanya hendak memulihkan keadaan rumahnya yang ditenggelami banjir separas leher, jauh sekali berfikir soal hari raya yang bakal menjelang, Selasa ini.

“Dah tak fikir persiapan raya. Baju anak tak tahu entah kemana. (Semua) tenggelam banjir,” katanya kepada FMT.

Lebih menyesakkan dada Hartini adalah kerugian yang ditanggung apabila kedai makannya turut tenggelam, termasuk barangan elektrik untuk kegunaannya berniaga.

Itulah sumber pendapatan Hartini. Semuanya musnah sekelip mata.

“(Barang-barang seperti) ‘chiller’, peti ais, periuk nasi industri, penapis air, mesin pengisar…banyaklah (rosak). Kita berniagakan? Itu yang banyak barang elektrik.

“Seminggu lagi nak raya, pun tak tahu boleh buka kedai atau tak. Barang pun tak kemas lagi. Mungkin lepas raya (baru berniaga semula),” katanya dengan keluhan berat.

Hartini seperti peniaga lain di luar sana baru menarik nafas lega selepas fasa perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi menangani wabak covid-19 tamat.

Ibarat jatuh ditimpa tangga, Hartini sekeluarga sekali lagi diduga apabila rumah dan kedainya pula dilanda banjir.

Suaminya, Andrika Susanto Sanusi, 31, yang bekerja sebagai buruh kasar berkata, air naik terlalu cepat sehingga tidak sempat menyelamatkan waima satu barang.

“Persiapan raya dan beli tapi tak tahu ke mana dah perginya. Tak jumpa dah baju Melayu tu. Raya seadanya saja, (kami) tumpang rumah mak. (Semua ini) ambil masa seminggu untuk kering,” katanya.

Menurut Andrika, ini bukan kali pertama banjir berlaku di kawasan perumahannya malah ia akan berlaku sekali dalam setahun.

Andrika sendiri tidak pasti apakah punca menyebabkan banjir sering berlaku di kejiranannya. Dia dan jiran hanya bertahan dan berjaga-jaga dengan kejadian banjir, dengan bergantung harap kepada siren amaran banjir yang dipasang di Masjid Al-Ubudiah Segambut Dalam.

Banjir setiap tahun memaksa Andrika Susanto Sanusi membeli jet air untuk kerja mencuci kesan bencana.

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh, dalam kenyataannya menggesa perdana menteri memberikan sumbangan kepada keluarga yang terjejas.

Tegas Hannah, keperluan mencari jalan penyelesaian kepada masalah banjir di Kuala Lumpur semakin kritikal. Setiap kali ia berlaku, kerosakan harta benda dianggarkan berjuta-juta.

Menurutnya alasan taburan hujan yang tinggi sudah tidak boleh diguna pakai dan sukar diterima.

Erwanis Abdul Rahman dan suaminya yang uzur tidak boleh berpindah kerana kekangan kewangan.

Seorang lagi penduduk Erwanis Abdul Rahman, 51, yang bekerja sebagai tukang cuci akur rumahnya akan dinaiki air saban tahun.

Kekangan kewangan menyebabkan dia dan suami yang uzur terpaksa meneruskan kehidupan di situ dan tidak boleh berpindah ke kawasan yang lebih selamat.

“Nak pindah rumah pun masalah kewangan juga. Nak deposit rumah, sewa rumah, lagi mahal daripada sini. Lagi satu kemudahan sini dekat dengan jalan raya,” katanya kepada FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.