
Pengumuman raya yang dianggap sehari lebih awal itu mengejutkan seluruh negara kerana ia [pada mulanya dijangka disambut Selasa.
Timbalan Presiden Persatuan Anak Kelantan Perantauan Malaysia (Perakan Malaysia) Azman Awang, berkata ada dalam kalangan perantau yang sudah membeli tiket pada Hari Raya terpaksa ‘mencari jalan’ supaya mereka tetap dapat sampai ke kampung halaman masing-masing pada 1 Syawal.
“Ramai yang menjangkakan tarikh Hari Raya Aidilfitri jatuh pada 3 Mei.
“Bayangkan dua tahun tak dapat pulang berhari raya di kampung dan bila sambutannya jatuh pada Isnin, memang semua cari jalan untuk sampai ke kampung,” katanya kepada FMT.
Kemeriahan ‘raya terkejut’ itu dapat dirasai menerusi kesesakan jalan raya sehingga mengambil masa 2 jam bagi jarak 10 kilometer di jalan-jalan utama negeri itu.
Sebelum ini polis trafik menjangkakan sejumlah 2 juta kenderaan memasuki negeri Kelantan bermula awal hingga akhir Ramadan.
Menerusi rekod Perakan, terdapat seramai 800,000 perantau Kelantan dengan dengan anggaran hanya 10% tidak pulang atas pelbagai sebab antaranya bekerja, sudah tidak mempunyai keluarga dan bermastautin di negeri lain.
Katanya, kesesakan tersebut umpama rezeki buat peniaga kecil-kecilan yang sanggup membuka perniagaan pada sebelah petang hari raya pertama demi menjual hidangan sampingan buat perantau tersangkut dalam kesesakan ketika beraya.
Malah katanya, bukan sekadar makanan laris dijual, pelbagai barangan harian termasuk ‘jualan sabut kelapa pun turut laku dibeli perantau ketika di musim perayaan’.
“Nampak kemeriahannya apabila jalan-jalan sesak, tempat-tempat rumah terbuka ramai orang, gerai dikunjungi orang ramai, barulah suasana berhari raya. Kalau suasana tu tak wujud seolah-olah kita duduk dalam perintah kawalan pergerakan (PKP) lah,” katanya.