Umno pinda perlembagaan bukan untuk selamatkan kedudukan presiden, kata Zahid

Umno pinda perlembagaan bukan untuk selamatkan kedudukan presiden, kata Zahid

Presiden Umno berkata, dakwaan itu tidak benar memandangkan gesaan pindaan perlembagaan parti datang dari suara akar umbi.

Zahid Hamidi berkata, gesaan agar pemilihan parti diadakan selepas pilihan raya umum adalah usul daripada majoriti bahagian-bahagian yang telah mengadakan mesyuarat perwakilan Umno bahagian masing-masing.
KUALA LUMPUR:
Zahid Hamidi menolak dakwaan dalam kalangan pemimpin parti kononnya perhimpunan agung khas (EGM) parti itu yang dibuat hari ini bagi meminda perlembagaan untuk membolehkan pemilihan parti itu diadakan dalam tempoh enam bulan selepas pilihan raya umum (PRU) adalah bagi menyelamatkan kedudukannya sebagai presiden Umno.

Presiden Umno itu berkata, dakwaan itu tidak benar memandangkan gesaan pindaan perlembagaan parti itu datang dari suara akar umbi.

“Saya mendengar adanya suara-suara di kalangan kita, kononnya pindaan ini untuk menyelamatkan kedudukan Zahid Hamidi sebagai presiden. Suka saya tegaskan, ia tidak benar.

“Dangkallah jika ada di kalangan kita, termasuk saf kepimpinan tertinggi parti, berpandangan dan berfikiran sempit sedemikian. Jangan kita buat-buat lupa, gesaan agar pemilihan parti diadakan selepas pilihan raya umum adalah usul daripada majoriti bahagian-bahagian yang telah mengadakan mesyuarat perwakilan Umno bahagian masing-masing.

“Keputusan di peringkat akar umbi, dan seterusnya diangkat ke Perhimpunan Agung dua bulan lalu telah pun dipersetujui dan diluluskan,” katanya ketika berucap dalam Persidangan Agung Khas Umno di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Zahid berkata, Umno tidak mempunyai DNA atau baka untuk mencetuskan kekacauan yang boleh menjerumuskan negara kepada keadaan tidak menentu.

Beliau sebaliknya berkata, parti itu mengutamakan kepada soal kestabilan, keharmonian, kemakmuran dan kesejahteraan.

“(Ia) adalah agenda yang tidak pernah luput daripada kamus perjuangan Umno

“Jadikanlah pilihan raya umum ke-14, sebagai sempadan dan pengajaran buat negara. Pakatan politik yang baharu muncul ketika itu, hanya indah khabar daripada rupa. Pepat di luar, rencong di dalam, kokok berdegar-degar ekor bergelumang najis. Rakyat ditipu hidup-hidup,”katanya.

Umno mengadakan EGM parti itu bagi meminda perlembagaan parti untuk membolehkan pemilihan parti itu diadakan dalam tempoh enam bulan selepas PRU.

EGM yang dihadiri lebih 2,000 perwakilan itu diadakan selaras dengan keputusan Perhimpunan Agung Umno 2021, yang bersetuju untuk menangguhkan pemilihan parti selepas PRU bagi mengelak perpecahan dalaman.

Umno sebelum ini menangguhkan pemilihannya di semua peringkat cawangan, bahagian dan Majlis Kerja Tertinggi selama 18 bulan selepas penggal 2018/2021 berakhir pada 30 Jun tahun lepas.

Jika dihitung, tempoh 18 bulan tersebut akan tamat hujung tahun ini dan pemilihan Umno penggal 2021/2023 perlu diadakan sebelum 30 Dis 2022.

Bagaimanapun, Perhimpunan Agung Umno 2021 pada Mac lepas bersetuju agar pemilihan parti ditangguhkan sehingga enam bulan selepas PRU15 bagi membolehkan parti memberi tumpuan kepada pilihan raya itu.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan semasa ucapan penggulungan pada perhimpunan itu berkata pihaknya bimbang akan berlaku perpecahan sekiranya pemilihan parti diadakan sebelum PRU15.

Selasa lepas, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan dipetik sebagai berkata parti itu akan mengemukakan cadangan tarikh mengadakan pemilihan parti kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM), 17 Mei ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.