
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes HFMD meningkat sebanyak 349% minggu lalu, dengan 7,526 kes direkodkan dari 8 hingga 14 Mei lalu berbanding 1,676 kes di seluruh negara pada minggu sebelumnya.
Beliau berkata, kebanyakan kes, iaitu 94% atau 29,781 kes adalah dalam kalangan kanak-kanak enam tahun ke bawah, manakala 5% atau 1,473 kes membabitkan mereka yang berusia tujuh hingga 12 tahun.
Sehingga 14 Mei lalu katanya, Selangor mencatatkan jumlah kes tertinggi di seluruh negara, iaitu 8,864 kes (28%).
“Ia diikuti Kuala Lumpur dan Putrajaya 4,421 kes (14%), Sabah 2,650 kes (8%), Perak 2,638 kes (8%) dan Kelantan 2,493 kes (7.9%), sementara negeri lain sekitar atau kurang 1,500 kes,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, penyakit yang berkait rapat dengan amalan kebersihan diri dan persekitaran itu cepat menular dengan kadar jangkitan hampir 100% dalam kalangan kanak-kanak berumur kurang 10 tahun, khasnya di premis tumpuan kanak-kanak seperti taska, tadika atau sekolah.
Susulan peningkatan kes itu, Hisham berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil langkah proaktif dengan mengaktifkan ciri terbaru semakan status penyakit berjangkit di kawasan sekitar dalam aplikasi MySejahtera untuk orang awam menyemak status titik merah dan pelaporan kes penyakit berjangkit di sesebuah kawasan.
“Ini akan membantu mereka merancang aktiviti dan perjalanan harian secara lebih berhati-hati, selepas mengenal pasti kawasan berisiko dalam radius berbeza mengikut penyakit.”
Dalam pada itu, KKM turut mendedahkan peningkatan kes denggi sebanyak 51.5%, daripada 709 kes pada minggu sebelumnya kepada 1,074 kes minggu lalu.
Keseluruhannya, sebanyak 14,725 kes dilaporkan setakat ini, meningkat 45.2% berbanding tempoh sama tahun lalu.
Katanya, sembilan kematian berkaitan denggi turut direkodkan minggu lalu.
Terengganu mencatatkan kes denggi tertinggi sejak awal tahun ini, iaitu 10,007 kes, diikuti Kuala Lumpur dan Putrajaya sebanyak 1,272 kes, manakala negeri lain mencatatkan kurang 1,000 kes.