Pindaan RUU Kanun Tanah: Kawalan spektrum tambah kos kepada rakyat Sarawak, kata DAP

Pindaan RUU Kanun Tanah: Kawalan spektrum tambah kos kepada rakyat Sarawak, kata DAP

Wujud pertindihan hak ke atas spektrum mengakibatkan syarikat telekomunikasi membayar hak spektrum dua kali kepada kerajaan pusat dan negeri.

Ketua DAP Sarawak Chong Chieng Jen, berkata Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Tanah boleh meningkatkan kos syarikat telekomunikasi dan memberi kesan kepada pengguna di Sarawak.
PETALING JAYA:
Pindaan definisi “tanah” dalam Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Tanah mewujudkan pertindihan hak ke atas spektrum menyebabkan syarikat telekomunikasi terpaksa membayar hak spektrum dua kali kepada kerajaan pusat dan negeri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padungan Chong Chieng Jen, berkata situasi berkenaan mengakibatkan peningkatan kos kepada syarikat telekomunikasi dan secara tidak langsung memberi kesan kepada pengguna di Sarawak.

“Perundangan yang diluluskan ini akan mewujudkan dua badan berbeza untuk menguruskan penggunaan hak spektrum daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan sebuah badan yang ditubuhkan kerajaan negeri antaranya melalui Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) atau Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak,” katanya menurut laporan Astro Awani.

Ketua DAP Sarawak itu, berkata secara prinsipnya, kapasiti pengguna di Sarawak yang rendah tidak memungkinkan syarikat telekomunikasi untuk mengurangkan kos yang perlu ditanggung pengguna.

“Kita hanya mempunyai kira-kira tiga juta penduduk, berbanding Semenanjung lebih 20 juta penduduk, jadi skala ekonomi itu lebih menarik buat syarikat telekomunikasi sekali gus mengurangkan kos untuk pemasangan perkhidmatan telefon di Semenanjung.

“Saya cadangan agar kerajaan negeri membawa usul pindaan RUU Kanun Tanah ini kepada pihak di Kabinet persekutuan dahulu agar ia dapat diselesaikan terus tanpa perlu melalui pintu belakang seperti ini, bukan ini kuasa autonomi yang rakyat mahukan,” katanya.

Terdahulu, RUU Kanun Tanah (Pindaan) 2022 diluluskan sebulat suara di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak selepas bacaan kali ketiga oleh Timbalan Menteri Undang-undang, MA63, Hubungan Negeri-Persekutuan Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

Sementara itu, ADUN Ba’kelalan yang juga pemimpin Parti Sarawak Bersatu (PSB), Baru Bian menyokong pindaan RUU itu.

Bagaimanapun, beliau mempersoalkan pindaan itu yang dilihat bercanggah dengan Akta Laut Wilayah 2012 yang masih berkuat kuasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.