
Setiausaha politik Zuraida, Muhamad Shazlee Muhamad Nazlee berkata, keputusan itu jelas membuktikan bahawa jawatan dan kuasa bukanlah prioriti utama bosnya sejak berkecimpung dalam bidang politik.
“Tindakan berani Zuraida ini telah mengunci rapat mulut-mulut liar yang sebelum ini dengan mudah menuduh beliau gila kuasa dan jawatan apabila memilih bersama dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Sejak menjadi menteri perusahaan perladangan dan komoditi tahun lalu, beliau telah menunjukkan prestasi membanggakan dengan menjadikan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) antara kementerian utama dalam meningkatkan pendapatan negara,” katanya menurut laporan Sinar Harian.
Semalam, Zuraida yang juga bekas naib presiden PKR mengumumkan keluar Bersatu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Ahli Parlimen Ampang itu berkata, beliau akan mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dalam masa terdekat untuk membincangkan peletakan jawatannya sebagai menteri.
Shazlee berkata, dalam tempoh tidak sampai setahun menjadi menteri, Zuraida juga telah mengadakan jelajah komoditi ke lebih 12 negara bagi memastikan sektor komoditi negara kita lebih mendapat tempat di pasaran antarabangsa.
“Inilah kualiti Zuraida terhadap komitmen kerja dan kepentingan rakyat yang membezakan beliau dengan ramai ahli politik lain. Keputusan keluar daripada Bersatu buat masa ini adalah didasari keberanian dan prinsip, bukanlah kerana ingin menjaga periuk nasi sendiri seperti tohmahan ke atas beliau sebelum ini.
“Saya akan sentiasa menyokong kepimpinan beliau kerana Zuraida terbukti memilih jalan politik mengikut wadah berprinsip, bukan untuk ‘play safe’.
“Saya yakin keputusan beliau menyertai PBM adalah kerana ia merupakan platform terbaik dan paling ‘kena’ dengan jiwa beliau agar dapat terus menyumbang kepada rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang, kedudukan, bangsa dan agama,” jelasnya.