
Beliau memberitahu FMT bahawa kelewatan itu adalah kerana pembantu rumah perlu menjalani latihan sebelum berlepas diikuti ujian kecekapan yang mungkin mengambil masa dua hingga tiga minggu.
“Kita mahu memastikan pekerja dapat melaksanakan tugas mengikut peruntukan dalam MoU (memorandum persefahaman).
“Bagi mereka yang mempunyai pengalaman bekerja sebagai pembantu rumah di luar negara, latihan mungkin menjadi lebih singkat asalkan mereka lulus ujian kecekapan.
“Bagi pemohon baharu, ia mungkin mengambil masa dua hingga tiga minggu dan mereka mesti menduduki ujian kecekapan yang akan menjadi kayu pengukur sebelum dibenarkan bekerja di luar negara,” katanya ketika ditanya mengenai kelewatan itu.
Hermono yang dipetik oleh sebuah portal berita pada 25 Mei lalu berkata, kumpulan pertama pembantu rumah dijangka tiba pada 31 Mei.
Ketika ditanya jumlah pembantu rumah yang terlibat dalam kumpulan pertama beliau berkata, ia bergantung kepada arahan kerja daripada agensi pekerjaan Malaysia dan pengeluaran permit kerja oleh Jabatan Imigresen.
“Di pihak kedutaan, kami telah memutuskan untuk memudahkan pemprosesan di bawah Sistem Satu Saluran walaupun Malaysia belum memuktamadkan rangkaian itu.
Laporan baru-baru ini menyebut, terdapat kira-kira 100 pembantu rumah yang tiba terlebih dahulu namun jumlah itu tidak dapat disahkan.
Pembantu rumah ini akan menjadi kumpulan pertama di bawah MoU mengenai pengambilan dan perlindungan yang ditandatangani Malaysia dan Indonesia pada 1 April, selepas kelewatan disebabkan pertikaian dalam klausa tertentu.
Di bawah MoU itu, pembantu rumah Indonesia akan dibayar gaji minimum bulanan sebanyak RM1,500.