Ya memang kami bantah ‘sindiket’ 25 agensi, wakil agensi Bangladesh perjelas himpunan Dhaka

Ya memang kami bantah ‘sindiket’ 25 agensi, wakil agensi Bangladesh perjelas himpunan Dhaka

Jurucakap kumpulan yang berhimpun ketika lawatan M Saravanan berkata mereka pastikan tunjuk perasaan berlaku secara beradab, aman, dan teratur bagi 'memuliakan tetamu'.

Beberapa poster dan sepanduk yang digunakan membantah rancangan M Saravanan untuk membenarkan hanya 25 agensi di Bangladesh menghantar pekerja ke Malaysia. (Gambar Shameem Ahmed Chowdhury Noman)
PETALING JAYA:
Wakil agensi buruh Bangladesh berhimpun ketika lawatan Menteri Sumber Manusia, M Saravanan, ke Dhaka semalam, bagi membantah rancangan Putrajaya untuk membenarkan hanya 25 agensi mengambil 200,000 pekerja ke Malaysia, kata jurucakap kumpulan terbabit.

Bekas setiausaha agung Persatuan Agensi Pengambilan Pekerja Bangladesh Antarabangsa (Baira), Shameem Ahmed Chowdhury Noman berkata, poster dan sepanduk itu jelas menyatakan bantahan mereka terhadap rancangan Malaysia untuk mensindiketkan pengambilan pekerja itu.

“Ya, himpunan itu untuk menunjuk perasaan tapi secara beradab dan aman. Kami tahu bagaimana untuk memuliakan tetamu. Kami mahu tetamu kami sedar dan faham bahawa mengehadkan bilangan agensi daripada 1,300 kepada 25 sahaja adalah tidak adil dan boleh membawa kepada amalan rasuah.

“Menteri kata Putrajaya merancang untuk mengambil 200,000 pekerja. Jadi kenapa dihadkan kepada 25 agensi? Kenapa 13 negara lain yang turut menghantar pekerja ke Malaysia tiada had?

“Ejen lain pun perlu cari makan. Maka adillah kalau mereka pun diberi peluang,” katanya kepada FMT.

Semalam, FMT melaporkan lawatan kerja Saravanan disambut penunjuk perasaan menjelang mesyuarat Jawatankuasa Kerja Bersama Malaysia-Bangladesh mengenai pengambilan pekerja.

Perhimpunan itu menyusuli amaran daripada kira-kira 1,300 agensi pengambilan pekerja di Bangladesh bahawa mereka akan menunjuk perasaan sekiranya jawatankuasa itu hanya membenarkan 25 agensi untuk membekalkan pekerja ke Malaysia seperti yang dicadangkan Putrajaya.

Saravanan pada sidang media di Kuala Lumpur menafikan lawatannya disambut dengan tunjuk perasaan, sebaliknya kumpulan terbabit berhimpun untuk menyambutnya.

Shameen berkata, mereka mengulangi seruan kepada Putrajaya agar membenarkan semua agensi membekalkan pekerja kerana mensindiketkan pengambilan akan menyebabkan keseluruhan proses itu dikawal sekumpulan kecil individu.

“Kami lega apabila terbaca berita bahawa Jemaah Menteri Malaysia akan menentukan bilangan agensi. Saya menggesa mereka cuba fahami rayuan kami demi nama baik kedua-dua negara,” katanya.

Beliau menyeru pasaran dibiarkan bebas agar kos pengambilan pekerja boleh direndahkan kerana sindiket boleh menentukan yuran atas budi bicara sendiri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.