
Dalam satu kenyataan, ADUN Kebun Bunga, Jason Ong berkata, Loke harus sedar bahawa Ismail akan cuba memegang jawatan sebagai perdana menteri selagi termampu.
“Tidak kira apa yang beliau katakan pada Umno kerana akhirnya, perdana menteri yang akan menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai tarikh pembubaran Parlimen.
“Segala-galanya bergantung pada keputusan beliau untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong — tanpanya, Parlimen akan seperti sedia ada, dengan atau tanpa memorandum persefahaman (MoU).
“Bagi mengelak PRU mengejut sama ada awal atau lewat, parti komponen Pakatan Harapan perlu sentiasa bersedia daripada berdebat bila pilihan raya perlu diadakan.
“Untuk itu, kita serahkan sahaja keputusan itu kepada perdana menteri, Kabinet dan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Ong menambah, PKR sentiasa bersedia untuk PRU15 sama ada ia diadakan beberapa bulan akan datang atau pun tahun hadapan.
Pada 2 Jun lalu, Loke menyelar Ismail kerana mengeluarkan kenyataan “tidak konsisten” berkait pilihan raya akan diadakan tidak lama lagi.
Loke menegaskan, Ismail yang dipetik oleh Nikkei Asia 31 Mei lalu berkata, PRU15 tidak akan diadakan dalam tempoh terdekat, namun dalam ucapan di konvensyen Barisan Nasional (BN) baru-baru ini, beliau mengatakan tidak akan melengah-lengahkan pembubaran Parlimen walaupun sesaat jika gabungan itu telah bersedia.
Sebelum ini, Loke juga menggesa Ismail melanjutkan MoU yang dimeterai antara PH dan kerajaan pusat pada September tahun lalu.
Namun begitu, Ong mempersoalkan apakah manfaat jika mengadakan pilihan raya awal di tengah-tengah kenaikan harga makanan dan penurunan ringgit, terutamanya sejak Ismail mendapat sokongan PH sehingga akhir penggalnya.
Kata Ong lagi, tidak ada keperluan untuk melanjutkan MoU yang sedang berjalan kerana PH dan kerajaan akan bersetuju dengan pilihan raya umum nanti.