Warisan fokus perkuat parti sebelum jalin kerjasama

Warisan fokus perkuat parti sebelum jalin kerjasama

Presiden Warisan Shafie Apdal bagaimanapun mengakui sukar bertanding di Semenanjung secara solo dan akan pertimbang kerjasama dengan parti lain.

Presiden Warisan Shafie Apdal merasmikan pejabat perhubungan Warisan Negeri Sembilan. (Gambar Bernama)
SEREMBAN:
Warisan berhasrat memberi fokus kepada usaha memperkuat parti itu terlebih dahulu sebelum memutuskan kerjasama dengan gabungan dan parti lain, kata presidennya, Shafie Apdal.

Beliau berkata, keutamaan Warisan ketika ini ialah membina ‘rumah’ di negeri dan bahagian yang dilihat berpotensi ditawan, pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Yang penting kita perkukuhkan rumah kita dulu… apabila rumah kita dah kuat, baru cerita siapa rakan kongsi, siapa rakan gabungan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pejabat perhubungan Warisan Negeri Sembilan.

Mengakui bukan mudah untuk Warisan bertanding secara solo di Semenanjung, berbanding Sabah, Ahli Parlimen Semporna itu berkata, pihaknya akan meneliti gabungan mana bersesuaian diwujudkan bagi menghadapi PRU15.

“Kita sedar bukan mudah kalau kita bertanding berseorangan tetapi di Sabah dah biasa dah. Di Sabah (kita) berjaya (sebagai) satu parti sahaja, tiada gabungan… saya yakin di Semenanjung formula itu tidak boleh dipakai kerana di sini (perlu) ada kerjasama dengan parti lain,” katanya.

Ditanya mengenai jumlah kerusi Parlimen akan ditandingi Warisan pada PRU15, Shafie berkata, perkara itu belum diputuskan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.