Bukan masanya minta jawatan TPM dan menteri, Najib bidas Muhyiddin

Bukan masanya minta jawatan TPM dan menteri, Najib bidas Muhyiddin

Ahli Parlimen Pekan itu meminta kerajaan supaya tidak melayan permintaan Muhyiddin Yassin, sebaliknya fokus kepada pemulihan ekonomi dan mengawal inflasi.

Najib Razak berkata, Muhyiddin Yassin sekarang dalam keadaan terdesak.
PETALING JAYA:
Bekas perdana menteri Najib Razak membidas Muhyiddin Yassin yang menurutnya tersilap keutamaan pada masa rakyat sedang bergelut dengan kenaikan kos sara hidup, antara lainnya.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, pengumuman presiden Bersatu itu semalam bahawa beliau bertemu Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk membincangkan pelbagai jawatan dalam Jemaah Menteri dan kerajaan adalah sangat tidak wajar.

“Adakah prioriti negara ketika ini untuk lantik timbalan perdana menteri, menteri-menteri baharu, pelbagai jawatan baharu serta menubuhkan banyak lagi majlis-majlis dan jawatankuasa?

“Sedangkan PRU (pilihan raya umum) semakin dekat. Paling lama pun kurang setahun lagi,” kata Najib dalam catatan di Facebook.

Semalam, Muhyiddin berkata, beliau bertemu Ismail beberapa hari lepas untuk membincangkan pelantikan dalam Jemaah Menteri, termasuk jawatan timbalan perdana menteri yang menurutnya berkait dengan perjanjian Perikatan Nasional (PN) dengan perdana menteri.

“Saya membangkitkan beberapa isu penting termasuk pelantikan kerajaan dan bukan sahaja untuk mengisi kekosongan jawatan sedia ada. Pelantikan baharu perlu dipertimbangkan berdasarkan persetujuan PN dengan perdana menteri,” katanya kepada pemberita.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) itu turut meminta kerajaan mempercepat pembentukan panel MKN di peringkat negeri.

Najib berkata, Muhyiddin dalam keadaan terdesak apabila ramai ahli Parlimen Bersatu meninggalkan parti menjelang PRU15 dan beliau menjadikan perkara ini sebagai “gula-gula” untuk membendungnya.

“Harap kerajaan jangan layan. Fokus pada pemulihan ekonomi dan mengawal inflasi.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.