Sosma tidak jejas hak asasi manusia, wajar disokong kata Ahli Parlimen kerajaan

Sosma tidak jejas hak asasi manusia, wajar disokong kata Ahli Parlimen kerajaan

Individu yang ditahan masih berhak untuk membela diri, malah Mohd Salim Sharif menyifatkannya tidak seteruk Patriot Act di Amerika Syarikat.

Masih ramai yang keliru dengan tempoh tahanan selama 28 hari mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), kerana beranggapan setiap suspek yang ditangkap akan ditahan sepenuhnya untuk tempoh tersebut, kata Ahli Parlimen Mohd Salim Sharif. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Seorang Ahli Parlimen kerajaan menggesa semua wakil rakyat menyokong Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) yang dibentangkan hari ini.

Mohd Salim Sharif (BN-Jempol) berkata, beliau menyokong usul membatalkan keputusan Majlis Mesyuarat bertarikh 23 Mac lalu berkenaan Sosma bagi membolehkan Subseksyen 4(5) terus berkuat kuasa selama 5 tahun lagi.

Beliau juga menafikan dakwaan bahawa Sosma menjejaskan hak asasi manusia.

“Adalah tidak benar sama sekali kerana individu yang ditahan masih berhak untuk membela diri.

“Sosma ini tidaklah seteruk yang disangka dan tidaklah seteruk Patriot Act di Amerika Syarikat,” katanya di Dewan Rakyat.

Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, bagi membolehkan akta berkenaan terus berkuat kuasa selama lima tahun mulai 31 Julai 2022.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata, langkah itu membolehkan polis melanjutkan tempoh penahanan individu yang ditangkap dan ditahan mengikut Sosma sehingga 28 hari.

Pada Mac lalu, usul untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) selama lima tahun telah gagal diluluskan. Selepas undian belah bahagian dijalankan, seramai 84 Ahli Parlimen menyokongnya, manakala 86 Ahli Parlimen menentang.

Dalam pada itu, Salim berkata Sosma juga berbeza dengan akta seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang memberi kuasa kepada polis untuk menahan mana-mana suspek selama 60 hari dan dikeluarkan perintah tahanan selama dua tahun.

Katanya, masih ramai yang keliru dengan tempoh tahanan selama 28 hari, kerana beranggapan setiap suspek yang ditangkap akan ditahan sepenuhnya untuk tempoh tersebut.
“Hakikatnya, tempoh tersebut adalah tempoh maksimum. Boleh jadi… kes itu diselesaikan dan (tahanan) dibebaskan lebih awal,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.