3 baki tuntutan MoU PH akan diselesai, kata Wan Junaidi

3 baki tuntutan MoU PH akan diselesai, kata Wan Junaidi

Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata ia susulan jaminan diberikan perdana menteri bahawa perkara belum selesai dalam MoU itu akan diteruskan.

Kerajaan persekutuan dan Pakatan Harapan pada 13 Sept tahun lepas memeterai MoU bagi membentuk kerjasama dwipartisan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan akan menyelesaikan tiga lagi tuntutan masih berbaki dalam senarai memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani perdana menteri dan Pakatan Harapan (PH) termasuk mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada 10 tahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata jaminan diberikan sendiri Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, bahawa perkara belum selesai dalam MoU itu akan diteruskan.

Wan Junaidi bagaimanapun berkata, soal berkaitan mengehadkan jawatan perdana menteri tidak lebih 10 tahun perlu diperhalusi melalui pandangan dan nasihat peguam negara kerana ia membabitkan pindaan perlembagaan.

“Selain itu, kerajaan juga perlu berhati-hati (dalam soal lantikan perdana menteri) kerana lantikan dibuat atas perkenan Yang di-Pertuan Agong (Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah).

“Ia tidak boleh sewenang-wenangnya dipinda kerana itu bidang kuasa baginda,” katanya menurut Berita Harian.

PH dalam kenyataan semalam menuntut tiga lagi perkara termasuk mengehadkan jawatan perdana menteri tidak lebih 10 tahun seperti ketetapan dimeterai dalam MoU sebelum ini.

Selain itu, perdana menteri juga dituntut membentang dan meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen dan Pindaan kepada Peraturan Mesyuarat Parlimen bagi memastikan prosiding Dewan Rakyat dan Dewan Negara berjalan lebih teratur dan lancar sebelum Parlimen dibubarkan.

Perlu pindaan

Dalam pada itu, Wan Junaidi mengakui sehingga kini tiga lagi perkara dalam MoU terbabit belum sesuai berikutan ia memerlukan pindaan.

“Walaupun kerajaan boleh berjanji, kita perlu lihat semua pemegang taruh, perlu ada libat urus serta dimaklumkan dengan terperinci.

“Saya sudah berbincang dengan perdana menteri dan beliau memberi jaminan untuk kerajaan meneruskan apa yang lagi tertinggal walaupun MoU itu berakhir esok.

“Jadi saya akan membangkitkan perkara itu ke mesyuarat Kabinet nanti untuk melaksanakan janji itu walaupun semua perjanjian terbabit tidak diteruskan selepas esok,” katanya.

Berkenaan transformasi Parlimen, Wan Junaidi berkata, perkara itu bukan belum dilaksanakan, tetapi ada beberapa perkara perlu diselesaikan kerajaan dan Parlimen bagi menubuhkan apa yang dikatakan undang-undang untuk akta pentadbiran Parlimen.

“Ia bukan suatu perkara yang mudah berikutan membabitkan agensi kerajaan, perubahan cara pentadbiran yang dilaksanakan setakat ini. Jadi ini perlu diselesaikan pihak Parlimen dan kerajaan sebelum RUU boleh dibuat oleh kementerian dan Jabatan Peguam Negara,” katanya.

Beliau memaklumkan, selepas dipersetujui di peringkat Parlimen, perkara itu boleh diselesaikan dengan cepat.

“Pada dasarnya, kita sudah bersetuju, namun di peringkat pelaksanaan banyak rintangan bukan saja dari sudut perlembagaan tetapi juga dari segi perundangan, serta cara pentadbiran kerajaan yang sudah lebih 70 tahun.

“Dalam keadaan sedemikian, perubahan itu diatasi oleh kerajaan dan Parlimen terlebih dahulu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.