
Mangsa berusia 20-an itu berkata, operator LHDN itu kemudian menyambungkan talian kepada Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Terengganu.
Katanya, pihak yang menyamar sebagai polis itu memaklumkan bahawa dia tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi dan boleh dipenjara sekiranya memberitahu perkara itu kepada pihak lain.
“Polis itu berkata saya terlibat dengan aktiviti jenayah pengubahan wang haram dan penyeludupan, serta meminta saya mengaudit segala wang simpanan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sebagai bukti saya tidak bersalah.
“Saya juga diminta mengisi semua maklumat bank akaun pada satu aplikasi yang disediakan, namun akaun yang saya senaraikan itu tidak termasuk akaun unit Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan juga akaun Tabung Haji (TH),” katanya dalam sidang media di Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Menurut mangsa, dia telah membuat dua pemindahan wang sebanyak RM30,000 dan RM10,000 masing-masing ke pemilik akaun yang diberikan.
Bagaimanapun, mangsa tersebut mendapati wang simpanannya yang berjumlah RM98,900 di akaun TH itu telah dikeluarkan ke akaun pihak ketiga.
“Semua transaksi saya tidak menerima sebarang panggilan, mesej mahupun nombor TAC (kod pengesahan transaksi) dari pihak bank sebelum transaksi pengeluaran wang dilakukan.
“Bagaimana sindiket boleh senang-senang aktifkan dan sambungkan akaun TH saya ke akaun baik pihak ketiga tanpa kebenaran saya?” soalnya.
Sementara itu, Bendahari Agung PKR, Lee Chean Chung menggesa Lembaga Tabung Haji untuk tampil memberi penjelasan terhadap tahap keselamatan sistem perbankan dalam talian tersebut.
“Kami akan membantu mangsa membuat aduan rasmi terhadap pihak Tabung Haji, sekiranya transaksi dibuktikan telah lulus tanpa kebenaran pencarum, ganti rugi yang setimpal wajar diberikan,” katanya.
Beliau juga berharap Menteri Kewangan Tengku Zafrul meletakkan tanggungjawab yang sewajarnya kepada bank-bank komersial bagi menaik taraf sistem sekuriti perbankan online yang kini jelas terancam.